Connect with us

Terkini

Pelajar perlukan warden bercirikan ‘ibu’ dan ‘bapa’, bukan warden berimej bekas tentera, polis

Published

on

Foto: Pengasas dan Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR), Rohidzir Rais
  • Pengasas dan Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR), Rohidzir Rais berkata beliau khuatir jika perkara itu berlaku, kes buli dalam kalangan pelajar menurun tetapi kes pelajar dibuli warden pula mungkin meningkat.
  • “Pelajar-pelajar yang tinggal di asrama sebenarnya tidak memerlukan warden yang berotot atau bersuara lantang, kerana, mereka adalah anak-anak yang terpaksa meninggalkan ibu bapa demi menuntut ilmu.
  • Sebaliknya, menurut Rohidzir, pelajar-pelajar di asrama memerlukan seorang ‘bapa’ dan ‘ibu’ yang boleh menjadi rujukan mereka dalam kehidupan seharian.

KUALA LUMPUR – Cadangan melantik bekas anggota tentera atau polis sebagai warden asrama dilihat boleh menimbulkan kebimbangan penggunaan pendekatan berasaskan kekerasan bagi menggantikan pendekatan keibubapaan yang lebih sesuai dalam mendidik pelajar.

Pengasas dan Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR), Rohidzir Rais berkata beliau khuatir jika perkara itu berlaku, kes buli dalam kalangan pelajar menurun tetapi kes pelajar dibuli warden pula mungkin meningkat.

“Kekhuatiran ini berasas kerana dalam kem tentera sendiri kemungkinan berlaku kes buli sesama pelatih atau pelatih yang didera fizikal oleh jurulatih juga berlaku.

“Pelajar-pelajar yang tinggal di asrama sebenarnya tidak memerlukan warden yang berotot atau bersuara lantang, kerana, mereka adalah anak-anak yang terpaksa meninggalkan ibu bapa demi menuntut ilmu.

Sebaliknya, menurut Rohidzir, pelajar-pelajar di asrama memerlukan seorang ‘bapa’ dan ‘ibu’ yang boleh menjadi rujukan mereka dalam kehidupan seharian.

Ini kerana katanya, berjauhan dengan keluarga menjadikan emosi dan psikologi pelajar tidak terarah dan terumbang ambing.

“Jika di rumah, ibubapa dan ahli keluarga yang dewasa menjadi idola yang dapat mereka ikut dan patuhi. Tetapi di asrama, ‘idola’ mereka hanya rakan-rakan yang juga masih muda, tidak matang dan tidak berilmu,” katanya kepada The Merdeka Times hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam Facebooknya, mencadangkan bekas tentera atau polis dilantik sebagai warden asrama sepenuh masa bagi menangani kes buli.

Ia berikutan ramai guru MRSM yang menjadi warden mengadu terbeban untuk berjaga selepas jam 12 malam kerana perlu bertugas sebagai guru pada awal pagi, keesokannya.

Bagaimanapun bagi Rohidzir,  pelajar sebenarnya memerlukan seorang warden yang mampu menjalankan tanggungjawab ibu bapa sebagai pembimbing.

“Kita memerlukan seorang warden yang mampu menjalankan tanggungjawab ibu bapa sebagai pembimbing, hendaklah mempunyai akhlak yang baik, berpakaian kemas, tidak merokok, tidak mengeluarkan perkataan kasar dan lucah.

“Lebih penting, mereka yang membangunkan pelajar untuk solat bersama, menjadi imam kepada mereka, mengajarkan al-Quran dan fardhu ain, malah menjadi rujukan kepada pelajar dalam masalah agama, pelajaran atau kehidupan.

“Saya percaya askar pencen tidak mampu melaksanakan tugas ini dan dapat dilihat kebanyakan ciri-ciri ini terdapat kepada guru-guru pengajian Islam dan sebahagian guru yang mempunyai kesedaran agama yang baik,” jelasnya yang juga pengasas SINAR, satu-satunya sekolah Islam di Asia yang mendapat pengiktirafan Universiti Al-Azhar di Mesir.

Menyentuh mengenai bebanan tugas guru yang dilantik menjadi warden, beliau berkata masalah itu boleh diatasi dengan imbuhan berpatutan serta waktu mengajar fleksibel.

“Pada pendapat saya, berkenaan rungutan bebanan kepada guru jika tugas warden ini diberikan kepada mereka, saya mencadangkan agar beban mengajar mereka yang menjadi warden juga dikurangkan.

“Selain itu, faktor imbuhan juga perlu diambil kira, jika elaun atau sagu hati yang diberikan lebih tinggi dan memuaskan, saya percaya ramai guru bersedia menjadi warden,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rohidzir menegaskan isu pelajar bukan hanya berkaitan dengan kes buli tetapi merangkumi banyak lagi kesalahan yang boleh disimpulkan sebagai keruntuhan akhlak.

“Menyelesaikan masalah buli serta masalah disiplin yang lain tidak boleh diambil mudah dengan mencantas pucuk masalah tetapi membiarkan akarnya terus tumbuh,” katanya – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author