Terkini
Isu CEO Petronas ‘mandi champagne’: ‘Maaf tak cukup, perlu dikenakan tindakan dalaman’ – Wan Anwar
- Gesaan itu disuarakan Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim yang berpendapat tindakan berkenaan perlu bagi memastikan insiden seumpama tidak berulang pada masa hadapan.
- Wan Anwar turut membandingkan insiden itu dengan kontroversi yang melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berhubung hidangan alkohol dalam satu majlis rasmi.
- “Saya langsung tidak faham di kala kita mengecam dan mengkritik tindakan seorang bukan Muslim yang tidak sensitif dengan isu arak secara terbuka, ada pula seorang Muslim yang mengulangi perkara yang sama.
KUALA LUMPUR – Tindakan dalaman perlu diambil terhadap presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Petronas, Tengku Taufik Tengku Aziz, susulan insiden “mandi champagne” semasa Grand Prix Singapura baru-baru ini.
Gesaan itu disuarakan Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim yang berpendapat tindakan berkenaan perlu bagi memastikan insiden seumpama tidak berulang pada masa hadapan.
Wan Anwar turut menolak permohonan maaf Tengku Taufik yang mendakwa dirinya “terlalu terbawa-bawa dengan keterujaan kemenangan” dengan menegaskan bahawa alasan itu tidak memadai apabila foto-foto jelas menunjukkan dia sendiri yang turut menyembur dan bermandi arak.
Wan Anwar turut membandingkan insiden itu dengan kontroversi yang melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berhubung hidangan alkohol dalam satu majlis rasmi.
“Saya langsung tidak faham di kala kita mengecam dan mengkritik tindakan seorang bukan Muslim yang tidak sensitif dengan isu arak secara terbuka, ada pula seorang Muslim yang mengulangi perkara yang sama.
“Lebih mengecewakan apabila seorang Muslim tersebut adalah seorang Melayu yang memimpin sebuah organisasi nasional yang berwibawa iaitu Petronas,” katanya dalam satu kenyataan semalam yang dipetik MalaysiaKini.
Beliau turut mempersoalkan mengenai tindakan Tengku Taufik yang langsung tidak sensitif dengan isu sebegitu, sedangkan beliau sedar beliau membawa imej sebuah negara Islam yang dihormati dunia.
Wan Anwar berkata kepimpinan Petronas sebelum era Tengku Taufik sentiasa peka terhadap sensitiviti agama dan budaya baik di dalam mahupun luar negara. – The Merdeka Times