Connect with us

Terkini

Bajet 2026: Rakyat gesa kerajaan perkasa peruntukan dakwah, pendidikan dan warga emas

Published

on

Foto: Dari kiri Adam Tan Jian Yang, Muhammad Syahir Mahizan, Mohd Hafiz Mohd Zailani dan Alizah Osman.
  • Pendakwah bebas, Adam Tan Jian Yang, 29, berkata aspek keagamaan terutama yang menyentuh peranan Islam sebagai agama Persekutuan harus menjadi antara fokus dalam belanjawan akan datang.
  • Mohd Hafiz Mohd Zailani, 39, mengharapkan kerajaan tidak lagi mengurangkan subsidi asas rakyat, sebaliknya mengekalkannya bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
  • Muhammad Syahir Mahizan, 33, isu pendidikan awal kanak-kanak perlu mendapat perhatian lebih serius dalam belanjawan kali ini, terutamanya melibatkan kebajikan tenaga pengajar di tadika dan taska kerajaan serta agensi berkaitan.
  • Alizah Osman, 56, menekankan keperluan kerajaan untuk memberi perhatian kepada kebajikan warga emas, memandangkan Malaysia semakin menghampiri status negara tua.

KUALA LUMPUR – Menjelang pembentangan Belanjawan 2026 esok oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat menyuarakan harapan masing-masing agar bajet kali ini benar-benar menepati keperluan semasa dan memberi manfaat menyeluruh, khususnya dalam aspek keagamaan, pendidikan awal kanak-kanak, kos sara hidup dan kebajikan warga emas.

Rata-rata menyuarakan pandangan serta pendapat di sudut atau sektor apakah yang boleh kerajaan perbaiki serta tumpuan demi kesejahteraan masyarakat.

Pendakwah bebas, Adam Tan Jian Yang, 29, berkata aspek keagamaan terutama yang menyentuh peranan Islam sebagai agama Persekutuan harus menjadi antara fokus dalam belanjawan akan datang.

“Saya melihat penting untuk kerajaan meneruskan dan memperkukuh peruntukan dalam gerakan dakwah. Jika sebelum ini al-Quran dicetak dan dihantar ke luar negara bagi tujuan dakwah antarabangsa, mungkin tahun ini boleh difokuskan pula kepada usaha dakwah dalam negara.

“Dengan situasi semasa melibatkan isu-isu agama, usaha memperjelas kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sangat penting, termasuklah memberikan kefahaman kepada masyarakat bukan Islam,” katanya kepada The Merdeka Times hari ini.

Menurut, beliau, adalah penting bagi menyampaikan dakwah Islam bagi memberi kefahaman jelas kepada bangsa dan agama lain berkenaan Islam di negara.

Dalam pada itu, penasihat jualan kenderaan, Mohd Hafiz Mohd Zailani, 39, mengharapkan kerajaan tidak lagi mengurangkan subsidi asas rakyat, sebaliknya mengekalkannya bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Dalam pembentangan Bajet 2026 nanti, saya berharap kerajaan akan lebih prihatin terhadap nasib rakyat dan fokus tentang pemberian subsidi kepada kami.

“Mungkin juga kalau boleh tiada lagi catuan subsidi kepada rakyat kali ini, apatah lagi kami juga dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Bagi penasihat jualan kenderaan, Muhammad Syahir Mahizan, 33, isu pendidikan awal kanak-kanak perlu mendapat perhatian lebih serius dalam belanjawan kali ini, terutamanya melibatkan kebajikan tenaga pengajar di tadika dan taska kerajaan serta agensi berkaitan.

“Guru tadika dan taska menjaga kanak-kanak seawal umur empat hingga enam tahun, satu tanggungjawab besar kerana mereka perlu menjaga keselamatan dan perkembangan anak-anak kecil ini.

“Justeru itu, bagi saya ia adalah satu pekerjaan yang penuh cabaran kerana banyak risiko untuk menjaga anak-anak kecil ini,” ujarnya.

Sementara itu, pesara, Halizah Osman, 56, menekankan keperluan kerajaan untuk memberi perhatian kepada kebajikan warga emas, memandangkan Malaysia semakin menghampiri status negara tua.

“Kerajaan perlu memperluaskan pembangunan bandar mesra warga emas, menyediakan kemudahan dan fasiliti yang lebih mudah diakses serta memperkenalkan lebih banyak skim bantuan untuk golongan ini.

“Tumpuan kepada warga emas juga perlu diperluas daripada segi bantuan kewangan kerana semakin ramai memasuki usia persaraan dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.

Perdana Menteri dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang esok.

Rang undang-undang itu akan dibahaskan Ahli-ahli Parlimen selama lapan hari di Peringkat Dasar sebelum sesi penggulungan oleh kementerian pada 29 Oktober hingga 4 November, diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 Nov untuk kelulusan Dewan Rakyat. – The Merdeka Times

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author