Connect with us

Terkini

Kegagalan hormati kontrak sosial antara punca isu hidangan arak – Prof. Teo Kok Seong

Published

on

Foto: Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
  • “Dalam Kontrak Sosial itu, etnik bukan Melayu, iaitu Cina dan India, berjanji untuk menerima Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal, serta kekuasaan Raja-Raja Melayu setelah orang Melayu memberikan kerakyatan kepada mereka. Tidak seperti etnik Melayu yang telah menunaikan bahagian mereka sejurus kontrak itu dimeterai, etnik bukan Melayu masih belum melaksanakan janji mereka sepenuhnya, walaupun tujuh dekad telah berlalu. Ini dapat dilihat dalam sikap mereka terhadap Islam, apabila gagal menghormati kedudukannya sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang telah dijanjikan,” – Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

 

KUALA LUMPUR — Kegagalan segelintir pihak menghormati Perjanjian Etnik 1955, atau lebih dikenali sebagai Kontrak Sosial, antara punca berlakunya kontroversi hidangan arak dalam satu majlis yang dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, baru-baru ini.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, berkata perjanjian bersejarah itu menjadi asas kepada pembentukan negara ini, yang berpaksikan persefahaman antara kaum Melayu, Cina dan India.

Namun, beliau menegaskan semangat asal perpaduan itu kini semakin terhakis akibat pergeseran identiti, politik perkauman serta kegagalan memahami maksud sebenar kontrak tersebut.

“Dalam Kontrak Sosial itu, etnik bukan Melayu, iaitu Cina dan India, berjanji untuk menerima Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal, serta kekuasaan Raja-Raja Melayu  setelah orang Melayu memberikan kerakyatan kepada mereka.

“Tidak seperti etnik Melayu yang telah menunaikan bahagian mereka sejurus kontrak itu dimeterai, etnik bukan Melayu masih belum melaksanakan janji mereka sepenuhnya, walaupun tujuh dekad telah berlalu.

“Ini dapat dilihat dalam sikap mereka terhadap Islam, apabila gagal menghormati kedudukannya sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang telah dijanjikan,” katanya kepada The Merdeka Times hari ini.

Beliau menambah, apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat kecenderungan untuk mempertikai dan mencabar kedudukan Islam, sekali gus menunjukkan bahawa semangat kontrak itu semakin diabaikan.

Mengulas lanjut, Prof. Teo berkata, walaupun “diplomasi arak” sering diamalkan di beberapa negara bukan Islam sebagai simbol hubungan muhibah dan budaya, ia tidak wajar dijadikan amalan di Malaysia.

“Memang benar di sesetengah negara, penggunaan arak secara strategik dianggap cara untuk memupuk persefahaman dan hubungan diplomatik. Namun, sebagai negara Melayu yang beragama Islam, amalan itu sama sekali tidak sesuai dan jelas dilarang.

“Larangan ini termaktub dalam dasar pemerintahan negara dan wajib dipatuhi. Oleh itu, Malaysia harus bijak untuk tidak sesekali menggunakan ‘diplomasi arak’ ini,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, kelemahan dalam memelihara semangat Kontrak Sosial turut berpunca daripada perpecahan dalam kalangan orang Melayu sendiri, yang menyebabkan kedudukan mereka mudah dieksploitasi.

“Banyak pihak mengambil kesempatan terhadap kelemahan dan perpecahan etnik Melayu. Maka, orang Melayu harus sedar dan mengambil langkah serius untuk memperkukuh perpaduan agar tidak terus diancam atau ditindas melalui pelbagai cara halus di tanah air mereka sendiri,” katanya.–The Merdeka Times

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author