Connect with us

Terkini

MAIK sah madrasah ‘abuya’ di Tumpat tidak berdaftar, tindakan akan diambil segera

Published

on

Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)

 

  • “Pihak MAIK ingin mengesahkan bahawa Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah yang menjadi tempat mengajar bagi Muhammad Aswadi Yah, atau dikenali sebagai Abuya, di Tumpat beroperasi secara tidak berdaftar dengan MAIK. Madrasah tersebut juga tidak pernah menghantar permohonan pendaftaran sekolah atau institusi pengajian agama sebagaimana diperuntukkan dalam subseksyen 96(1) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bilangan 4 Tahun 1994.” – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
  • MAIK telah menyelaras tindakan bersama agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi melaksanakan tindakan sewajarnya terhadap madrasah tersebut dengan segera.

TUMPAT — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengesahkan bahawa Madrasah Abuya iaitu Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah di Tumpat tidak berdaftar secara sah di bawah enakmen negeri dan tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan kadar segera.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein, berkata madrasah berkenaan tidak pernah menghantar sebarang permohonan bagi tujuan pendaftaran sebagai sekolah atau institusi pengajian agama di bawah peruntukan Subseksyen 96(1), Enakmen MAIK Bilangan 4 Tahun 1994.

“Pihak MAIK ingin mengesahkan bahawa Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah yang menjadi tempat mengajar bagi Muhammad Aswadi Yah, atau dikenali sebagai Abuya, di Tumpat beroperasi secara tidak berdaftar dengan MAIK.

“Madrasah tersebut juga tidak pernah menghantar permohonan pendaftaran sekolah atau institusi pengajian agama sebagaimana diperuntukkan dalam subseksyen 96(1) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bilangan 4 Tahun 1994,” katanya dalam satu kenyataan media yang diberi kepada The Merdeka Times hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah menyelaras tindakan bersama agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi melaksanakan tindakan sewajarnya terhadap madrasah tersebut dengan segera.

“MAIK telah menyelaras tindakan sewajarnya bersama pihak berkuasa berkaitan untuk melaksanakan penguatkuasaan ke atas madrasah itu dengan seberapa segera,” ujarnya.

Semalam, The Merdeka Times melaporkan bahawa Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi, menegaskan sebarang penjelasan berhubung kes seorang mudir madrasah di Tumpat, Muhammad Aswadi Yah atau lebih dikenali sebagai Abuya, yang kini berdepan pelbagai pertuduhan salah laku seksual dan penyebaran bahan lucah, perlu diberikan oleh pihak berautoriti agama negeri.

Menurut Mumtaz, semua perkara berkaitan hal ehwal Islam di Kelantan berada di bawah bidang kuasa MAIK, dan beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut bagi menghormati proses siasatan serta prosedur mahkamah yang sedang berjalan.- The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author