Agama
MAIK masih gagal respon isu penceramah didakwa salah laku seksual
- Isu ini timbul selepas pendedahan oleh pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung, yang mendedahkan bahawa Aswadi meskipun telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap pelajar tahfiz masih dibenarkan mengajar di madrasah miliknya, Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah di Tumpat, Kelantan.
- Namun, sehingga kini, MAIK masih gagal memberikan sebarang maklum balas, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kecekapan serta ketelusan pihak berkenaan dalam menangani isu serius seperti ini.
KUALA LUMPUR – Dua minggu telah berlalu sejak wartawan The Merdeka Times menghubungi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk mendapatkan kenyataan rasmi berhubung kes seorang penceramah agama, Aswadi bin Yah atau lebih dikenali sebagai Abuya, yang berdepan pelbagai tuduhan salah laku seksual dan penyebaran bahan lucah.
Namun, sehingga kini, MAIK masih gagal memberikan sebarang maklum balas, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kecekapan serta ketelusan pihak berkenaan dalam menangani isu serius seperti ini.
Isu ini timbul selepas pendedahan oleh pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung, yang mendedahkan bahawa Aswadi meskipun telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap pelajar tahfiz masih dibenarkan mengajar di madrasah miliknya, Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah di Tumpat, Kelantan.
“Tindakan individu tersebut meneruskan aktiviti keagamaan sejurus selepas prosiding mahkamah menimbulkan persoalan besar: adakah wajar seorang yang sedang berdepan tuduhan seberat itu dibenarkan terus mengajar, dan mengapa tauliah mengajarnya tidak digantung sementara waktu sehingga kes selesai diadili?,” aju Firdaus.
Menurut Firdaus, persoalan itu bukan semata-mata tentang individu terbabit, tetapi tentang tanggungjawab pihak berautoriti agama untuk memastikan integriti institusi pendidikan Islam tidak tercemar.
“Persoalannya, adakah pihak berwajib seperti MAIK sedar tentang kewujudan madrasah ini, dan apakah bentuk pemantauan yang dilakukan terhadap penceramah-penceramah bebas yang memiliki madrasah sendiri?” soalnya.
Bagaimanapun, usaha The Merdeka Times untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak MAIK berdepan jalan buntu.
Sejak dua minggu lalu, pelbagai panggilan dan pertanyaan rasmi telah dibuat, namun pegawai bertugas hanya memaklumkan bahawa “kenyataan sedang disediakan” tanpa memberikan sebarang garis masa atau jawapan lanjut.
Kelewatan dan sikap berdiam diri ini mencetuskan kebimbangan awam, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam yang mengharapkan ketegasan pihak berkuasa agama dalam mempertahankan martabat institusi dakwah.
Kes Aswadi sebelum ini menarik perhatian umum selepas beliau dihadapkan dengan sekurang-kurangnya 15 pertuduhan berkaitan kesalahan seksual, termasuk melibatkan pelajar tahfiz.
Namun, walaupun siasatan dan prosiding mahkamah sedang berjalan, beliau masih aktif menyampaikan kuliah dan mengadakan program agama, mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, The Merdeka Times menggesa MAIK tampil segera memberikan penjelasan rasmi berhubung tindakan dan pendirian mereka dalam isu ini.
Mungkin MAIK boleh mencontohi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang pantas memberi maklum balas terhadap kes berkenaan seorang penceramah bebas dikenali Fathi Naim yang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, empat tahun lepas.
Keengganan atau kelewatan pihak berkuasa agama untuk bertindak hanya akan menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi Islam dan membuka ruang kepada persepsi bahawa mereka gagal menjalankan amanah dalam menjaga kesucian dakwah. – The Merdeka Times