Connect with us

Terkini

Penjawat awam dilarang sertai aktiviti, majlis libatkan arak – Cuepacs

Published

on

Foto: Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat
  • Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata setiap pegawai perlu menjaga integriti, imej, dan maruah perkhidmatan awam, selaras dengan nilai profesionalisme serta tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
  • Menurut beliau, mana-mana penjawat awam yang menerima jemputan menghadiri majlis makan malam, jamuan rasmi atau tidak rasmi yang disyaki melibatkan hidangan minuman beralkohol segera mendapatkan pengesahan daripada pihak penganjur.
  • Adnan juga menggesa pihak swasta dan industri supaya menghormati budaya serta sensitiviti agama khususnya dalam majlis rasmi yang turut dihadiri penjawat awam.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan bahawa penjawat awam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam sebarang aktiviti atau majlis yang melibatkan minuman keras (arak) atau sebarang bentuk minuman beralkohol, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata sebagai penjawat awam yang berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan, setiap pegawai perlu menjaga integriti, imej, dan maruah perkhidmatan awam, selaras dengan nilai profesionalisme serta tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Penyertaan dalam aktiviti yang boleh mencemarkan reputasi jabatan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, mana-mana penjawat awam yang menerima jemputan menghadiri majlis makan malam, jamuan rasmi atau tidak rasmi yang disyaki melibatkan hidangan minuman beralkohol segera mendapatkan pengesahan daripada pihak penganjur.

“Jika terdapat keraguan atau maklumat bahawa majlis tersebut melibatkan minuman arak, penjawat awam hendaklah menolak jemputan tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa atau ketua jabatan masing-masing untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Adnan juga menggesa pihak swasta dan industri supaya menghormati budaya serta sensitiviti agama khususnya dalam majlis rasmi yang turut dihadiri penjawat awam.

“Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mengamalkan nilai kesopanan, kesusilaan dan menghormati kepercayaan agama.

“Oleh itu, setiap penganjur perlu peka terhadap budaya rasmi kerajaan, terutamanya apabila majlis melibatkan kakitangan awam yang sebahagian besar beragama Islam dan terikat dengan peraturan serta etika perkhidmatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap bentuk majlis rasmi atau tidak rasmi tidak menyinggung mana-mana pihak dan selari dengan nilai moral serta budaya masyarakat Malaysia.

“Pihak Cuepacs menyeru agar semua jabatan dan agensi kerajaan lebih berhati-hati dalam memilih acara atau program yang disertai bagi mengelakkan timbulnya persepsi tidak baik terhadap penjawat awam serta memastikan imej perkhidmatan awam kekal dihormati rakyat.

“Cuepacs juga akan terus bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan penjawat awam kekal berdisiplin, berintegriti dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat dalam setiap tindakan dan penampilan,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author