Terkini
(VIDEO) Bina bangunan 60 tingkat di Bukit Damansara tidak muktamad – DBKL
- DBKL memaklumkan sebarang keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas proses libat urus dan penelitian teknikal yang komprehensif dilaksanakan.
- Tambah DBKL, setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada dan pelan pembangunan yang diwartakan.
- Jelas DBKL, cadangan sesuatu pemajuan juga masih lagi tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal seperti Traffic Impact Assessment (TIA), Geoteknik, Environmental Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan lain-lain aspek teknikal yang berkaitan.
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan tiada keputusan muktamad yang dibuat berkaitan dengan permohonan untuk membina bangunan 60 tingkat di Bukit Damansara.
Menurutnya, sebarang keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas proses libat urus dan penelitian teknikal yang komprehensif dilaksanakan.
DBKL turut menegaskan bahawa setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada dan pelan pembangunan yang diwartakan.
“Pihak DBKL komited memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dilakukan secara teratur, mampan serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat,” jelas DBKL dalam satu kenyataan baru-baru ini.
DBKL menjawab kepada kenyataan yang dibangkitkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dilaporkan meminta DBKL supaya meneliti dahulu kesan sampingan sesebuah pembinaan terhadap penduduk sekitar sebelum melaksanakan projek.
Tambah DBKL, pihaknya telah menerima permohonan bagi cadangan pelan susun atur untuk cadangan perdagangan di atas tiga lot tanah yang berkeluasan 7.98 ekar.
“Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang telah diwartakan pada 28 Mei 2025 telah menetapkan kriteria yang boleh dipertimbangkan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal perancangan dan Pelawaan pandangan awam mengikut Kaedah 3, iaitu, pemberitahuan mendapatkan pandangan,” jelas kenyataan itu.
Jelasnya lagi, cadangan sesuatu pemajuan juga masih lagi tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal seperti Traffic Impact Assessment (TIA), Geoteknik, Environmental Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan lain-lain aspek teknikal yang berkaitan.
“Selain itu, pematuhan terhadap ulasan dan syarat yang dikemukakan oleh agensi teknikal lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan lain juga perlu dipatuhi,” menurut kenyataan tersebut. – The Merdeka Times