Connect with us

Terkini

Isu hidangan arak: Menteri perlu bertanggungjawab, letak jawatan – Penganalisis

Published

on

Foto: Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian (kiri) dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (kanan).
  • Menurut penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, jika kenyataan atau tindakan beliau telah menimbulkan kegusaran awam, kemarahan rakyat dan rasa kecewa, khususnya apabila ia menyentuh aspek sensitif seperti agama dan Perlembagaan, maka pemimpin terbabit perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya.
  • Tambah beliau, sebagai tokoh politik dan anggota pentadbiran, setiap pemimpin wajar menjadi contoh teladan kepada rakyat melalui akhlak, pertuturan dan tindakan mereka.
  • Penganalisis, Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula berkata demi menjaga imej dan kewibawaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah lebih baik beliau berjiwa besar untuk berundur.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden hidangan arak dengan meletakkan jawatannya sekiranya perlu.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian. berkata jika kenyataan atau tindakan King Sing telah menimbulkan kegusaran awam, kemarahan rakyat dan rasa kecewa, khususnya apabila ia menyentuh aspek sensitif seperti agama dan Perlembagaan, maka pemimpin terbabit perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya.

“Dalam negara kita yang berbilang kaum dan agama, soal sensitiviti adalah sangat penting.

“Jika berlaku ketelanjuran, pemimpin perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab, termasuklah mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan sekiranya perlu,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Tambahnya lagi, desakan agar seorang menteri melepaskan jawatan susulan kontroversi yang menyentuh sensitiviti agama dan Perlembagaan negara perlu dilihat dalam konteks akauntabiliti dan tanggungjawab politik.

Tegasnya lagi siasatan menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan keputusan yang diambil tidak membawa kesan lebih buruk pada masa hadapan.

“Jika selepas siasatan didapati kenyataan itu benar-benar menjejaskan keharmonian, maka individu terbabit wajar mengambil langkah sepatutnya dan keputusan itu juga seharusnya datang dari kesedaran dirinya sendiri,” ujarnya.

Jelas beliau, sebagai tokoh politik dan anggota pentadbiran, setiap pemimpin wajar menjadi contoh teladan kepada rakyat melalui akhlak, pertuturan dan tindakan mereka.

“Kita mahu melihat seorang pemimpin yang budiman iaitu yang tinggi akal budinya, budi perkertinya, budi bahasanya kerana mereka ini sentiasa diperhati dan juga mahu dijadikan contoh.

“Dalam konteks seperti ini ketelanjuran boleh memberikan kesan besar kepada keharmonian sosial, kepada integrasi, perpaduan hubungan antara etnik dalam konteks negara kita dan juga persepsi terhadap kerajaan walaupun hanya membabitkan seorang pemimpin tetapi ia boleh membawa kesan kepada kepimpinan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata Datuk Seri Tiong King Sing wajar mengambil langkah berundur secara terhormat susulan kontroversi terkini yang melanda beliau.

“Bagi saya ini bukan kali pertama Ahli Parlimen Bintulu itu dikaitkan dengan isu yang menimbulkan ketegangan dan menjadi perhatian umum.

“Justeru, demi menjaga imej dan kewibawaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah lebih baik beliau berjiwa besar untuk berundur.

“Sudah sampai masanya peluang diberikan kepada pemimpin lain dari Sarawak untuk menerajui kementerian berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, Perdana Menteri wajar campur tangan segera bagi meredakan situasi yang kian menimbulkan banyak kontroversi ini.

“Saya yakin isu ini boleh diselesaikan secara baik sekiranya Perdana Menteri campur tangan dalam hal ini.

“Seterusnya, Datuk Seri Tiong King Sing pula perlu berjiwa besar serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang telah berlaku,” jelasnya.

Terdahulu media melaporkan, terdapat hidangan arak yang didakwa berlaku dalam satu majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dihadiri oleh Datuk Seri Tiong King Sing.

Beberapa hari lepas, Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Mas Ermieyanti Samsudin mendakwa gara-gara minuman keras dalam majlis itu, ramai tetamu beragama Islam balik awal.

Bagaimanapun Datuk Seri Tiong King Sing. pada Sabtu menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menguruskan program Global Travel Meet selama dua hari setengah, bukan acara makan malam. – The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author