Terkini
RUU Pembaharuan Semula Bandar belum sedia, Johari tuntut gubal semula
- Tiga resolusi utama telah dicapai dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, dengan resolusi pertama menyentuh isu penangguhan pembentangan RUU PSB.
- “Tiga resolusi pertama iaitu menuntut RUU Pembaharuan Semula Bandar ini tidak dibentangkan pada sesi Parlimen sehingga ianya digubah semula dan mengambil kira banyak perkara iaitu 17 perkara yang telah dibangkitkan,” – Ketua Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani
KUALA LUMPUR – Ketua Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa RUU tersebut tidak wajar dibentangkan di Parlimen selagi ia tidak digubal semula dengan mengambil kira pelbagai aspek penting yang telah dibangkitkan.
Menurut Johari, tiga resolusi utama telah dicapai dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, dengan resolusi pertama menyentuh isu penangguhan pembentangan RUU PSB.
“Tiga resolusi pertama iaitu menuntut RUU Pembaharuan Semula Bandar ini tidak dibentangkan pada sesi Parlimen sehingga ianya digubah semula dan mengambil kira banyak perkara iaitu 17 perkara yang telah dibangkitkan,” katanya pada sidang media selepas konvensyen tersebut.
Tambah beliau, resolusi kedua menuntut kajian semula menyeluruh serta pindaan bersepadu terhadap undang-undang sedia ada, termasuk Akta Pengambilan Tanah, bagi memastikan pembangunan semula bandar dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif.
“Pembangunan semula melibatkan pelbagai kategori kediaman dari flat, kondominium, rumah teres, hingga semi-D dan banglo. Semua kategori ini memerlukan pertimbangan berbeza,” jelasnya.
Beliau turut menggesa kerajaan melihat aspek penyelesaian projek terbengkalai, termasuk projek perumahan yang sudah lama tidak disiapkan walaupun pembeli terus membayar ansuran bulanan.
Selain itu, Johari menekankan isu hartanah komersial terbengkalai yang perlu diberi perhatian serius.
“Kita tidak boleh biarkan pusat komersial di tengah bandar raya terbengkalai begitu lama. Kerajaan perlu ada kuasa undang-undang untuk mengambil alih dan membangunkan semula aset ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa usaha pembangunan semula bandar adalah keperluan selepas 68 tahun merdeka.
Walaupun Malaysia berjaya menghapuskan penempatan setinggan sejak era penubuhan UDA (Urban Development Authority), kini banyak projek lama kelihatan usang dan memerlukan pendekatan regenerasi atau pembaharuan semula.
“Pembangunan semula ini adalah jalan terakhir. Jika tidak, kita berisiko tinggal dalam kawasan bandar yang usang dan tidak selesa. Rakyat berhak untuk menikmati suasana bandar yang cantik dan elok,” katanya.
Johari turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan membawa hasil perbincangan ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk dibawa ke perhatian Perdana Menteri bagi tindakan lanjut. -The Merdeka Times