Terkini
Berani buat, berani tanggung” – Penahanan aktivis Malaysia cetus perang komentar di media sosial
- Seorang pengguna, Sloggesh Patel S, menulis sinis dengan ucapan “padan muka, tahniah Israel,” merujuk kepada tindakan keras Israel terhadap flotila bantuan.
- Sementara itu, Arasu Annamalay menegaskan tindakan aktivis tersebut dibuat atas pilihan sendiri, tanpa paksaan mana-mana pihak.
- “Berani buat, berani tanggung. Jangan susahkan keluarga dan negara. Fikirkan keselamatan diri dan masa depan negara kita,” tulisnya.
KUALA LUMPUR – Penahanan sekumpulan aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) selepas kapal mereka dipintas tentera Israel di perairan Gaza mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan warganet.
Perkongsian video berdurasi 1 minit 55 saat oleh laman Facebook Vanakkam Malaysia memaparkan detik seramai 10 rakyat Malaysia ditahan.
Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi daripada kecaman pedas hinggalah sokongan moral.
Seorang pengguna, Sloggesh Patel S, menulis sinis dengan ucapan “padan muka, tahniah Israel,” merujuk kepada tindakan keras Israel terhadap flotila bantuan.
Sementara itu, Arasu Annamalay menegaskan tindakan aktivis tersebut dibuat atas pilihan sendiri, tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Berani buat, berani tanggung. Jangan susahkan keluarga dan negara. Fikirkan keselamatan diri dan masa depan negara kita,” tulisnya.
Nada lebih keras disuarakan oleh Nirmala Hassan yang menyindir dengan kenyataan berbaur kebencian, manakala Vyramuthu Maheswaran menilai usaha flotila itu sebagai “drama yang tidak berguna” kerana menurutnya, jalan penyelesaian sepatutnya melalui dialog antara pemimpin.
Namun, tidak semua berpandangan negatif.
Ramai juga tampil memberikan sokongan moral dan solidariti kepada aktivis terbabit.
Pengguna bernama Gogula Krishnan menyifatkan penahanan itu bukan sekadar tragedi, tetapi juga pelanggaran hak asasi manusia.
“Sepuluh rakyat Malaysia ditahan selepas kapal bantuan ke Gaza diserang Israel. Ini tindakan kejam yang mencetuskan protes besar-besaran di Eropah,” katanya, sambil mendesak kerajaan menggunakan saluran diplomatik serta undang-undang antarabangsa bagi membebaskan mereka.
Dalam nada simpati, Sheena Supramaniam berharap semua tahanan dibawa pulang dengan selamat.
“Sedih sangat. Harap kerajaan dan askar kita dapat membawa mereka pulang. Doa saya untuk mereka dan keluarga, semoga dipermudahkan urusan,” tulisnya. -The Merdeka Times