Terkini
Malaysia sambut baik usaha AS tamatkan Perang Gaza
- Kenyataan itu menegaskan bahawa pelaksanaan pelan damai tersebut perlu selari dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta resolusi berkaitan.
- Malaysia turut menekankan bahawa sebarang inisiatif penyelesaian perlu mengiktiraf hak Palestin untuk menentukan masa depan sendiri, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
- Antara perkara termasuk dalam pelan yang dibentangkan Trump itu adalah pembangunan ekonomi dan tadbir urus Gaza akan dipantau oleh jawatankuasa teknokratik dan badan antarabangsa, dengan menyasar kepada pelucutan senjata melibatkan pejuang Hamas.
PUTRAJAYA – Malaysia menyambut baik usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, dalam mengumumkan satu pelan komprehensif bagi menamatkan perang Israel ke atas Gaza yang dibentangkan pada 29 September 2025 di Washington, DC.
Menurut kenyataan Wisma Putra, pelan tersebut yang dinantikan sekian lama oleh masyarakat antarabangsa dilihat sebagai langkah penting bagi segera menghentikan jenayah genosid, kebuluran, serta kemusnahan yang berlarutan di Gaza sejak sekian lama.
Malaysia menaruh harapan agar pelan berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus membuka laluan kepada penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan, pengunduran tentera Israel dari Gaza, kepulangan pelarian serta rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa, dan pembinaan semula wilayah yang musnah.
Kenyataan itu menegaskan bahawa pelaksanaan pelan damai tersebut perlu selari dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta resolusi berkaitan.
Pada masa sama, ia perlu memastikan perlindungan rakyat Palestin serta menangani isu keadilan dan akauntabiliti bagi menjamin keamanan yang adil, keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan.
Malaysia turut menekankan bahawa sebarang inisiatif penyelesaian perlu mengiktiraf hak Palestin untuk menentukan masa depan sendiri, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Dalam kenyataan sama, Malaysia mengulangi kesediaannya untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan komuniti antarabangsa dalam menyokong usaha damai tersebut, demi memastikan keamanan yang berkekalan serta penyelesaian menyeluruh terhadap konflik Palestin-Israel.
Antara perkara termasuk dalam pelan yang dibentangkan Trump itu adalah pembangunan ekonomi dan tadbir urus Gaza akan dipantau oleh jawatankuasa teknokratik dan badan antarabangsa, dengan menyasar kepada pelucutan senjata melibatkan pejuang Hamas. -The Merdeka Times