Connect with us

Agama

Isu Surau Al-Karamah: Setpol Ipoh Timor jawab tuduhan politik sempit

Published

on

Foto: Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ipoh Timor, Mohamad Norriduan Mohamed Idrus

 

  • Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ipoh Timor, Mohamad Norriduan Mohamed Idrus, menjelaskan Surau Al-Karamah lama tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan dibina di atas kawasan penempatan setinggan, bukan tanah wakaf atau rizab surau/masjid yang diwartakan.
  • Setelah pemaju memperoleh hak milik tanah, penduduk setinggan termasuk surau itu dipindahkan ke lokasi baharu di RPT Pengkalan Pertama, yang menempatkan surau gentian dengan fasiliti lebih selesa dan lengkap.
  • “Surau lama ini sebenarnya telah banyak menerima sumbangan daripada ADUN Tebing Tinggi dan Ahli Parlimen Ipoh Timor, termasuk papan tanda, sejadah, lantai luar surau serta dana pembinaan melalui pengerusi surau ketika itu. Jadi amat tidak wajar pihak tertentu menuduh wakil rakyat DAP tidak prihatin atau menjadi punca surau dirobohkan,” katanya.

 

 

IPOH – Isu berkaitan Surau Al-Karamah, Pasir Puteh, Ipoh yang kini tular telah menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat apabila ada pihak cuba mengaitkannya dengan kepimpinan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti DAP.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ipoh Timor, Mohamad Norriduan Mohamed Idrus, menegaskan tuduhan bahawa wakil rakyat DAP menjadi punca kepada perobohan surau tersebut adalah tidak benar, malah merupakan fitnah bermotifkan politik sempit.

Beliau menjelaskan bahawa Surau Al-Karamah lama tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan dibina di atas kawasan penempatan setinggan, bukan tanah wakaf atau rizab surau/masjid yang diwartakan.

Setelah pemaju memperoleh hak milik tanah, penduduk setinggan termasuk surau itu dipindahkan ke lokasi baharu di RPT Pengkalan Pertama, yang menempatkan surau gantian dengan fasiliti lebih selesa dan lengkap.

“Surau lama ini sebenarnya telah banyak menerima sumbangan daripada ADUN Tebing Tinggi dan Ahli Parlimen Ipoh Timor, termasuk papan tanda, sejadah, lantai luar surau serta dana pembinaan melalui pengerusi surau ketika itu. Jadi amat tidak wajar pihak tertentu menuduh wakil rakyat DAP tidak prihatin atau menjadi punca surau dirobohkan,” katanya.

Tambah beliau, perobohan hanya dilaksanakan selepas perintah mahkamah diperoleh dan setelah mendapat titah DYMM Sultan Perak bahawa surau baharu mesti siap dahulu sebelum surau lama diruntuhkan.

“Keputusan itu dihormati sepenuhnya dan wakil rakyat kami turut membantu melengkapkan surau baharu dengan pemasangan karpet, penghawa dingin dan sokongan kewangan untuk aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa cubaan mengheret nama pemimpin DAP dalam isu ini adalah satu tindakan biadap, berniat jahat serta boleh menggugat keharmonian masyarakat.

“Kami menyeru semua pihak agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan naratif songsang yang cuba dimainkan pihak tertentu. Fokus kami adalah untuk terus memberi khidmat terbaik demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira agama, kaum atau fahaman politik,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan agar masyarakat berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang dakwaan tanpa fakta sahih kerana ia boleh menjerumuskan orang ramai ke dalam tohmahan dan prasangka yang merugikan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author