Terkini
Kemalangan lori Bukit Kajang, Pakar desak semak semula prosedur pemeriksaan kenderaan berat
- “Pada pendapat saya, kita kena lihat semula SOP yang digunakan oleh syarikat-syarikat yang dilantik selain daripada Puspakom ini. Saya rasa kita sudah sampai ke tahap yang tidak boleh ditangguhkan lagi, apatah lagi apabila berlaku kemalangan melibatkan kenderaan berat, selalunya ada nyawa yang terkorban.” – Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan UPM
- Teik Hua turut mempersoalkan sama ada pemeriksaan yang dijalankan benar-benar mematuhi piawaian yang ditetapkan atau sekadar bersifat rutin dan longgar.
KUALA LUMPUR – Susulan media melaporkan seorang bayi lelaki berusia 12 bulan maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu lepas, Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Madya Dr Law Teik Hua mempersoalkan tahap keberkesanan prosedur pemeriksaan kenderaan berat oleh syarikat-syarikat yang diberi tanggungjawab menjalankan tugas tersebut.
Beliau yang juga Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kemalangan melibatkan kenderaan berat semakin membimbangkan dan sering mengakibatkan kehilangan nyawa, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana ketat dan telitinya prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai.
“Pada pendapat saya, kita kena lihat semula SOP yang digunakan oleh syarikat-syarikat yang dilantik selain daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) ini.
“Saya rasa kita sudah sampai ke tahap yang tidak boleh ditangguhkan lagi, apatah lagi apabila berlaku kemalangan melibatkan kenderaan berat, selalunya ada nyawa yang terkorban,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Menurut beliau, cadangan Kementerian Pengangkutan untuk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada Puspakom bagi pemeriksaan kenderaan komersial merupakan langkah baik, namun isu utama yang perlu diberi perhatian ialah kualiti dan integriti pemeriksaan yang dijalankan.
Teik Hua turut mempersoalkan sama ada pemeriksaan yang dijalankan benar-benar mematuhi piawaian yang ditetapkan atau sekadar bersifat rutin dan longgar.
“Sepatutnya kita lihat dahulu prosedurnya adakah ia cukup lengkap, sama ada peralatan yang digunakan berkualiti tinggi malah apakah pegawainya cekap serta berkemahiran.
“Kalau pemeriksaan tidak dilakukan secara terperinci, risiko tetap tinggi meskipun dijalankan oleh banyak syarikat, oleh sebab itu, pemantauan perlu lebih kerap dan menyeluruh,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa usaha meningkatkan keselamatan jalan raya memerlukan pendekatan jangka panjang, dan bukan hanya inisiatif sementara.
“Keselamatan jalan raya bukan boleh diselesaikan dalam masa satu atau dua bulan kerana masalahnya sentiasa berubah mengikut keadaan dan perlu ditangani secara berterusan.
“Semua pihak yang terlibat perlu memainkan peranan secara lebih serius demi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lepas, kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata kegagalan sistem brek menyebabkan lori itu melanggar tiga kenderaan yang sedang menuju ke lorong tol lapan dan lorong tol sembilan Plaza Tol.- The Merdeka Times