Connect with us

Terkini

Wujudkan ‘Database’ pelajar B40, Elak generasi tercicir dek kemiskinan

Published

on

Foto: Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM, Prof. Dr. Salleh Amat
  • Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM, Prof. Dr. Salleh Amat, banyak pelajar enggan tampil kerana malu untuk mengaku kesusahan mereka, sedangkan ada yang berlapar di sekolah tanpa diketahui guru.
  • “Data bukan sekadar disimpan, tetapi mesti diproses untuk menyalurkan bantuan tepat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

 

KUALA LUMPUR Susulan kes seorang pelajar cemerlang yang terpaksa berhenti belajar dan bekerja di kilang akibat kemiskinan, timbul gesaan agar kerajaan mewujudkan pangkalan data kebangsaan untuk memantau status sosioekonomi pelajar di sekolah dan universiti.

Cadangan itu dibuat Pengarah Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salleh Amat bagi memastikan tidak ada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan hanya kerana faktor kewangan atau rasa malu untuk mengaku kesusahan keluarga.

“Kerajaan perlu ada satu sistem pemantauan, siapa pelajar kita, di mana mereka berada, dan latar belakang keluarganya. Kalau ada rekod, kita lebih mudah kenal pasti siapa yang berhak menerima bantuan,” kata Prof. Dr. Salleh ketika diminta mengulas isu berkenaan.

Menurut beliau, banyak pelajar enggan tampil kerana malu untuk mengaku kesusahan mereka, sedangkan ada yang berlapar di sekolah tanpa diketahui guru.

“Data bukan sekadar disimpan, tetapi mesti diproses untuk menyalurkan bantuan tepat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau menambah, penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) boleh membantu kerajaan meneliti dengan lebih terperinci jumlah pelajar daripada keluarga B40 yang memerlukan sokongan tambahan.

“Kalau kita biarkan pelajar berhenti sekolah kerana miskin, negara bukan sahaja kehilangan bakat, tetapi juga gagal memutuskan rantaian kemiskinan dalam keluarga mereka. Jika pelajar berjaya menamatkan pengajian, peluang mengubah nasib keluarga amat besar,” jelasnya.

Selain peranan kerajaan, universiti dan sekolah turut disaran lebih proaktif memantau keadaan pelajar, termasuk menerusi hal ehwal pelajar, pusat zakat dan bantuan kecemasan.

Malah, sokongan daripada rakan sebaya dan pembimbing juga dianggap penting bagi memastikan pelajar tidak berasa terpinggir.

“Di universiti memang ada banyak bantuan, dari biasiswa, zakat hingga dana kecemasan. Cuma kadang-kadang pelajar malu untuk memohon, akhirnya mereka berhenti begitu sahaja. Pihak kolej, asrama atau pensyarah perlu lebih peka jika ada pelajar menghadapi kesukaran,” katanya lagi.

Gesaan ini hadir selepas Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, sebelum ini memberi jaminan bahawa pihaknya akan membantu pelajar terbabit dengan menawarkan pembiayaan dan laluan kerjaya yang lebih baik.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author