Terkini
Doktor simpan 100% gaji, tetapi Ahli Parlimen perlu berikan sumbangan – Speaker Dewan Rakyat
- Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak cadangan supaya elaun Ahli Parlimen dipotong sebanyak 50 peratus bagi menampung kenaikan elaun on-call doktor kerajaan.
- Cadangan potongan elaun itu dikemukakan portal kesihatan CodeBlue, yang menganggarkan potongan 50 peratus elaun serta pencen Ahli Parlimen dan senator mampu menjana RM83.5 juta setahun hampir menampung kos RM80 juta bagi menaikkan 25 peratus elaun tugas atas panggilan (ETAP) pegawai perubatan.
- “Kalau kita mula bercakap tentang elaun doktor, bagaimana pula dengan polis? Bagaimana dengan bomba? Semua orang juga perlu diberi pertimbangan,” – Speaker Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak cadangan supaya elaun Ahli Parlimen (MP) dipotong sebanyak 50 peratus bagi menampung kenaikan elaun on-call doktor kerajaan.
Dalam temu bual bersama BFM yang disiarkan minggu lalu, Johari menjelaskan bahawa walaupun Ahli Parlimen menerima elaun bulanan kira-kira RM25,000, jumlah itu tidak mencukupi memandangkan wakil rakyat perlu menanggung pelbagai komitmen selain tugasan rasmi di Parlimen. Menteri pula menerima imbuhan sekitar RM40,000 sebulan.
Cadangan potongan elaun itu dikemukakan portal kesihatan CodeBlue, yang menganggarkan potongan 50 peratus elaun serta pencen Ahli Parlimen dan senator mampu menjana RM83.5 juta setahun hampir menampung kos RM80 juta bagi menaikkan 25 peratus elaun tugas atas panggilan (ETAP) pegawai perubatan.
Johari mengakui memahami rungutan doktor kerana enam daripada lapan anaknya bekerja sebagai doktor. Namun katanya, perbandingan perlu dibuat dengan sektor lain.
“Kalau kita mula bercakap tentang elaun doktor, bagaimana pula dengan polis? Bagaimana dengan bomba? Semua orang juga perlu diberi pertimbangan,” katanya.
Menurut Johari, seorang doktor pelatih (houseman) bergaji kira-kira RM4,000 sebulan dan mereka boleh menyimpan keseluruhan pendapatan tersebut.
“Tapi Ahli Parlimen, bila orang datang ke pejabat minta bantuan, adakah kita akan kata ‘gaji ini milik saya’? Tidak boleh begitu. Seorang MP sentiasa membantu,” katanya.
Beliau menambah, tugas Ahli Parlimen bukan sekadar menghadiri persidangan tetapi juga mengurus projek komuniti, menghadiri mesyuarat luar negara, serta melayani pengundi hampir setiap hari, termasuk hujung minggu yang dianggap paling sibuk.
Johari turut menjelaskan bahawa sebahagian besar elaun MP digunakan untuk menampung kos pejabat serta memberi sumbangan kepada pengundi, antaranya sekitar RM200 bagi majlis perkahwinan, RM250 untuk pengebumian, RM1,000 untuk program amal sekolah, dan pelbagai bantuan kecemasan lain.
“Pada hujung tahun, saya pernah hadiri 11 majlis kahwin dalam sehari. Jadi berapa banyak yang perlu diberi? Itu belum kira pengebumian dan lain-lain,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan peruntukan tahunan lebih RM2 juta bagi setiap Ahli Parlimen kerajaan hanya untuk projek kecil dan tidak masuk ke akaun peribadi wakil rakyat kerana ia diuruskan agensi pusat.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sedang menyediakan memorandum Kabinet bagi mencadangkan kadar baharu ETAP untuk pegawai perubatan dan pergigian. Beliau memaklumkan kenaikan 50 peratus ETAP akan melonjakkan kos daripada RM288 juta kepada RM432 juta setahun.
Kumpulan doktor termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Hartal Doktor Kontrak (HDK) sebelum ini mendesak kenaikan 50 peratus elaun on-call, yang bermakna tambahan RM110 hingga RM125 bagi setiap syif hujung minggu untuk pegawai perubatan dan pakar.
Ketika ini, elaun bulanan RM25,000 untuk Ahli Parlimen adalah 733 peratus lebih tinggi berbanding gaji median rakyat Malaysia sebanyak RM3,000 pada Mac 2025.-The Merdeka Times