Terkini
KPM umum 12 makanan & minuman dilarang di sekolah termasuk sosej, nugget dan mi segera
- “Kentang goreng, burger, sosej, nugget, lok cheng, termasuk bebola ikan atau ayam atau daging yang sering menjadi pilihan kanak-kanak, kini tergolong dalam makanan proses yang dilarang jual kerana jika diambil kerap akan menjejaskan kesihatan murid,” – KKM
- Makanan ringan seperti keropok, gula-gula dan coklat serta makanan berkrim atau bersalut gula dan jeruk turut tersenarai sebagai makanan larangan.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan kerjasama Bahagian Pemakanan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah mengeluarkan senarai rasmi 12 jenis makanan dan minuman yang dilarang dijual di sekolah-sekolah seluruh negara.
KPM berkata, larangan tersebut adalah salah satu usaha pihak kementerian untuk memastikan murid-murid dapat mengamalkan pemakanan yang sihat dan menggalakkan tumbesaran yang baik.
“Berdasarkan Peraturan Makanan 1985, makanan yang sudah melepasi tarikh luput serta makanan berbentuk permainan adalah dilarang dijual di sekolah.
“Selain itu, kentang goreng, burger, sosej, nugget, lok cheng, termasuk bebola ikan atau ayam atau daging yang sering menjadi pilihan kanak-kanak, kini tergolong dalam makanan proses yang dilarang jual kerana jika diambil kerap akan menjejaskan kesihatan murid,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Tambahnya lagi, makanan ringan seperti keropok, gula-gula dan coklat serta makanan berkrim atau bersalut gula dan jeruk turut tersenarai sebagai makanan larangan.
“Produk segera bersama perencah makanan seperti mi, bihun, ramen, kuetiau, bubur nasi, sup segera turut berada dalam senarai larangan kerana kandungan bahan pengawet serta perencah yang tinggi MSG.
“Pihak kementerian turut melarang minuman tenaga, isotonik, herba berkarbonat, campuran manis kordial, serbuk 3 dalam 1 serta krimer kerana kandungan gula yang tinggi memberi kesan buruk pada kesihatan murid namun minuman teh dan kopi pula hanya dibenarkan untuk guru, bukan untuk pelajar.
KPM menegaskan makanan dan minuman beralkohol dilarang sama sekali demi memastikan murid tidak terdedah kepada unsur negatif yang bercanggah dengan nilai kesihatan dan moral. – The Merdeka Times