Terkini
“Denial Syndrome” KPT, Dr Haim Hilman dedah krisis tempat program kritikal
- “Sebagai contoh, UM yang mempunyai 43,000 pelajar keseluruhan hanya menawarkan 85 tempat bagi program perakaunan melalui saluran UPU. Daripada jumlah itu, 28 tempat lagi diperuntukkan kepada pelajar asasi UM, manakala 50 tempat ditawarkan melalui saluran terbuka bagi mereka yang mampu membayar penuh yuran pengajian. Keseluruhannya hanya 163 tempat disediakan,” – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah
- Menurut beliau, angka itu jauh lebih kecil berbanding jumlah permohonan yang layak diterima.
- Situasi ini jelasnya menggambarkan kegagalan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam merancang keperluan tenaga profesional negara sedangkan aspirasi Malaysia adalah untuk melahirkan 60,000 akauntan menjelang tahun 2030.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah menyifatkan sistem pengambilan pelajar universiti awam khususnya bagi program kritikal seperti perakaunan sedang berada dalam keadaan krisis apabila jumlah tempat yang ditawarkan terlalu kecil berbanding permohonan pelajar cemerlang.
Dalam sebuah video di Facebooknya beliau berkata, situasi ini menggambarkan kegagalan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam merancang keperluan tenaga profesional negara sedangkan aspirasi Malaysia adalah untuk melahirkan 60,000 akauntan menjelang tahun 2030.
“Sebagai contoh, Universiti Malaya (UM) yang mempunyai 43,000 pelajar keseluruhan hanya menawarkan 85 tempat bagi program perakaunan melalui saluran UPU. Daripada jumlah itu, 28 tempat lagi diperuntukkan kepada pelajar asasi UM, manakala 50 tempat ditawarkan melalui saluran terbuka bagi mereka yang mampu membayar penuh yuran pengajian. Keseluruhannya hanya 163 tempat disediakan,” katanya.
Menurut beliau, angka itu jauh lebih kecil berbanding jumlah permohonan yang layak diterima.
“Di UM sahaja ada 2,291 pemohon yang diiktiraf layak, termasuk 1,127 pelajar dengan keputusan CGPA 4.0 serta rekod kokurikulum 100 peratus. Tetapi hanya 163 tempat ditawarkan. Tidakkah ini krisis?” soal beliau.
Dr Haim Hilman turut mendedahkan bahawa apabila digabungkan dengan tiga lagi universiti ternama iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), jumlah keseluruhan tempat untuk ijazah perakaunan hanyalah 590 setahun.
“Sedangkan di empat universiti ini terdapat 5,187 pelajar cemerlang 4.0 ‘flat’ dengan kokurikulum penuh yang memohon. Tetapi tempatnya hanya 590. Jelas ini tidak menyokong aspirasi negara,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia kini hanya mempunyai sekitar 35,000 akauntan, masih kekurangan kira-kira 25,000 lagi untuk mencapai sasaran 60,000 menjelang 2030.
Justeru, katanya, KPT tidak boleh terus berada dalam “denial syndrome” dengan menafikan kewujudan krisis ini.-The Merdeka Times