Connect with us

Terkini

Paksa pelancong bayar RM836,  JPJ tahan pemandu teksi haram di KLIA T2

Published

on

Foto: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke
  • “Semalam, selepas operasi samaran di KLIA, JPJ berjaya menahan kenderaan berkenaan bersama pemandunya. Kenderaan itu turut disita serta-merta dan kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut.” – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook
  • Beliau menegaskan, MOT tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bertindak sebagai “ulat” di lapangan terbang kerana perbuatan tersebut mencemarkan reputasi Malaysia di mata dunia.

 

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya menahan seorang pemandu yang terbabit dalam kes menipu pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA T2).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, insiden itu tercetus selepas tular di media sosial mengenai seorang pelancong asing yang ditawarkan tambang asal RM60 tetapi akhirnya dipaksa membayar sehingga RM836 sebelum diturunkan daripada kereta.

Berikutan kejadian itu, beliau segera mengarahkan JPJ menjalankan operasi khas bagi menjejaki kenderaan terbabit.

“Semalam, selepas operasi samaran di KLIA, JPJ berjaya menahan kenderaan berkenaan bersama pemandunya. Kenderaan itu turut disita serta-merta dan kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anthony Loke turut mengucapkan penghargaan kepada JPJ atas tindakan pantas yang diambil bagi melindungi imej negara dan keselamatan pelancong.

Beliau menegaskan, MOT tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bertindak sebagai “ulat” di lapangan terbang kerana perbuatan tersebut mencemarkan reputasi Malaysia di mata dunia.

Kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pemandu tersebut.

Pada 15 September lalu, video seorang pelancong asing tular di media sosial yang mendedahkan bahawa dia ditawarkan tambang RM60 oleh seorang lelaki warga tempatan ketika mencari bas ke sebuah hotel di ibu negara.

Bagaimanapun, sebaik tiba di hadapan hotel, pemandu berkenaan enggan berhenti, sebaliknya memandu ke kawasan sunyi sebelum menuntut bayaran sebanyak RM836, kira-kira 14 kali ganda daripada jumlah asal.

Media turut melaporkan, seorang wanita tempatan yang disyaki sebagai ‘ulat teksi’ dan ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor susulan video tular pelancong asing ditipu, dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan secara berkumpulan.

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata maklumat itu diperoleh melalui soal siasat terhadap suspek berusia 30-an yang ditahan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 (T2) pada pukul 1 pagi, dan pihaknya kini sedang menjejaki baki ahli kumpulan berkenaan. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author