Politik
Loke saran PRU16 serentak pilihan raya negeri di Semenanjung, seawal hujung tahun depan
- Cadangan itu dikemukakan selepas garis masa pilihan raya di Semenanjung menjadi bercelaru sejak lima tahun lalu, susulan wujudnya empat kitaran berbeza pilihan raya negeri.
- Jika cadangan ini menjadi kenyataan, PRU16 berkemungkinan berlangsung seawal hujung tahun depan atau selewat-lewatnya pada awal 2027.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijadikan titik mula bagi menyelaras semula jadual pilihan raya parlimen dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Jika cadangan ini menjadi kenyataan, PRU16 berkemungkinan berlangsung seawal hujung tahun depan atau selewat-lewatnya pada awal 2027.
Cadangan itu dikemukakan selepas garis masa pilihan raya di Semenanjung menjadi bercelaru sejak lima tahun lalu, susulan wujudnya empat kitaran berbeza pilihan raya negeri.
Keadaan ini berpunca daripada pilihan raya mengejut di Melaka (November 2021) dan Johor (Mac 2022), selain keputusan enam negeri, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk tidak mengadakan pilihan raya serentak dengan PRU15.
Ketika ini, hanya Perlis, Perak dan Pahang yang kekal seiring dengan jadual pilihan raya parlimen.
Jika penjadualan semula mahu dilakukan, ia mesti berlangsung sebelum tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berakhir pada Disember 2026.
Ini bermakna pilihan raya perlu diadakan selewat-lewatnya Februari 2027.
Bercakap selepas Mesyuarat Agung Tahunan DAP Seremban hari ini, Loke menegaskan belum ada perbincangan rasmi diadakan mengenai cadangan itu. Namun katanya, penyelarasan tarikh pilihan raya akan memberi manfaat kepada pengundi selain menjimatkan kos kerajaan persekutuan.
“Bajet Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) datang daripada Putrajaya. Mengadakan pilihan raya berasingan berkali-kali bukan sahaja membebankan logistik, tetapi turut meningkatkan kos,” katanya.
Beliau menjelaskan, prerogatif menentukan tarikh pembubaran Parlimen kekal di tangan Perdana Menteri. Bagaimanapun, kerjasama semua kerajaan negeri di Semenanjung amat diperlukan sekiranya penyelarasan jadual pilihan raya mahu direalisasikan.
Secara berasingan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa DUN Sabah akan dibubarkan sebelum tamat penggal pada 11 November depan, dengan keputusan rasmi dijangka diumumkan dalam masa terdekat. Sabah kini sedang berdepan usaha pemulihan selepas bencana banjir dan tanah runtuh yang meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa.-The Merdeka Times