Connect with us

Terkini

MCMC kompaun Sin Chew, Sinar Harian RM100,000

Published

on

Foto: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
  • Tindakan terhadap Sin Chew diambil susulan siasatan MCMC yang mendapati organisasi tersebut telah memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap di akhbar digital miliknya.
  • Sinar Harian pula dikompaun berikutan siaran di akaun Instagram rasmi organisasi tersebut yang memuat naik profil mengandungi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara, dakwaan yang dibuat melibatkan jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik tempatan.
  • Kedua-dua siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 233(2).

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenakan kompaun sebanyak RM100,000 masing-masing terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd selepas menerima izin mengkompaun daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

MCMC dalam satu kenyataan berkata tindakan terhadap Sin Chew diambil susulan siasatan MCMC yang mendapati organisasi tersebut telah memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap di akhbar digital miliknya.

Tambahnya, Sinar Harian pula dikompaun berikutan siaran di akaun Instagram rasmi organisasi tersebut yang memuat naik profil mengandungi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara, dakwaan yang dibuat melibatkan jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik tempatan.

“Kedua-dua siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 233(2).

“Manakala tindakan kompaun dibuat menurut Seksyen 243 akta yang sama,” katanya hari ini.

MCMC menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat serta penuh hemah pada setiap masa.

“Pada masa sama, penyebaran kandungan palsu yang melibatkan institusi keselamatan negara boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, semua organisasi media dan pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa memastikan ketepatan serta kesahihan kandungan yang diterbitkan, khususnya apabila membabitkan lambang dan simbol rasmi negara,” ujarnya.

Jelasnya lagi, MCMC akan terus memperkukuh penguatkuasaan dan melaksanakan pelbagai inisiatif digital bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negara terpelihara. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author