Terkini
Rais Yatim tolak cadangan tukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga
- Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, sehingga kini tiada matlamat jelas dikemukakan berhubung Cadangan penukaran nama berkenaan.
- “Perlu difahami tujuan sebenar sesuatu nama diberikan pada sesuatu entiti serta sebab-sebabnya. Pada saya, cadangan menukar nama ini tidak mempunyai jawapan yang pasti. Apabila ia tidak terjawab, maka jelaslah ia satu usaha yang gagal dan perjuangan tersebut akan menjadi sia-sia sahaja,” katanya kepada The Merdeka Times baru-baru ini.
PORT DICKSON – Tan Sri Dr. Rais Yatim menegaskan beliau menentang sebarang usaha untuk menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga, dengan alasan nama sedia ada sudah terkenal dan tidak perlu diubah.
Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, sehingga kini tiada matlamat jelas dikemukakan berhubung cadangan penukaran nama berkenaan.
“Perlu difahami tujuan sebenar sesuatu nama diberikan pada sesuatu entiti serta sebab-sebabnya. Pada saya, cadangan menukar nama ini tidak mempunyai jawapan yang pasti.
“Apabila ia tidak terjawab, maka jelaslah ia satu usaha yang gagal dan perjuangan tersebut akan menjadi sia-sia sahaja,” katanya kepada The Merdeka Times baru-baru ini.
Menurut Rais, sejarah pembukaan Port Dickson seharusnya dikenang dan dihargai, meskipun ia bermula daripada era penjajahan.
“Jika nama ditukar, apakah nama yang terbaik boleh diberikan kepada Port Dickson? Bagi saya, isu ini harus ditentang dari sudut konsep dan elemennya. Sebolehnya elakkan daripada menjadikan ia perbahasan tentang bangsa atau kaum.
“Port Dickson wujud hasil pemikiran seorang pegawai Inggeris yang melihat Negeri Sembilan perlu mempunyai pelabuhannya sendiri. Justeru itu, jasa tersebut wajar diiktiraf meskipun beliau daripada kelompok penjajah,” jelasnya.
Beliau menegaskan nama Port Dickson sudah lama dikenali, bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malah masyarakat antarabangsa, khususnya di negara jiran.
“Mengapa kita mahu menukar nama Port Dickson kepada nama baharu? Ia sudah terpahat sekian lama. Port Dickson terkenal dalam dan luar negara, kalau ditukar belum tentu orang mengenalinya dengan nama baharu,” tegasnya.
Baru-baru ini, The Merdeka Times melaporkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa supaya nama Port Dickson ditukar kepada Pantai Dermaga sebagai usaha menghapuskan legasi penjajah serta mengekalkan identiti warisan negara.
Pengerusi Identiti, Islah Wahyudi Zainudin, berkata pihak berwajib perlu segera mengambil tindakan agar nama baharu dapat digunakan demi memastikan identiti negara terus dipelihara.
Beliau turut meluahkan kekecewaan kerana selepas 68 tahun Malaysia merdeka daripada penjajah British pada 1957, masih terdapat nama yang dikaitkan dengan kolonial terus digunakan. – The Merdeka Times