Terkini
Haram rampas hak milik orang lain tanpa persetujuan – Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia WP
- “Jika sesuatu itu bukan milik kita, maka kita tidak mempunyai kuasa untuk mengambil atau merampasnya sesuka hati. Islam menekankan hak milik individu yang wajib dihormati. Perbincangan dan kata sepakat perlu dicapai terlebih dahulu.” – Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah
- Menurut Mohamad, sebarang tindakan merampas atau memaksa pemilik melepaskan harta mereka bercanggah dengan prinsip Islam, kecuali jika ia dibuat demi kepentingan umum dengan mematuhi syarat syariah.
KUALA LUMPUR – Perbuatan mengambil atau mencabul hak milik orang lain adalah dilarang sama sekali, malah dalam Islam prinsip menghormati hak tersebut amat dititikberatkan.
Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah, menegaskan setiap insan mempunyai hak yang mesti dipertahankan agar tidak dicabuli sewenang-wenangnya.
“Jika sesuatu itu bukan milik kita, maka kita tidak mempunyai kuasa untuk mengambil atau merampasnya sesuka hati. Islam menekankan hak milik individu yang wajib dihormati. Perbincangan dan kata sepakat perlu dicapai terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Menurut Mohamad, sebarang tindakan merampas atau memaksa pemilik melepaskan harta mereka bercanggah dengan prinsip Islam, kecuali jika ia dibuat demi kepentingan umum dengan mematuhi syarat syariah.
“Pengambilan hak milik boleh dibenarkan sekiranya untuk maslahat awam seperti membina masjid, hospital, jalan raya dan kemudahan asas lain. Namun ia mesti dilaksanakan dengan adil, berperaturan dan mengikut garis panduan syariah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian susulan laporan media semalam mengenai beberapa pemilik rumah di Kampung Sungai Baru yang diarahkan keluar secara paksa mengikut perintah mahkamah oleh pihak pemaju.
Mengulas lanjut, Mohamad menasihati agar pemaju tidak terburu-buru melaksanakan perintah pengosongan sementara menunggu keputusan mahkamah rayuan.
“Secara peribadi, pemaju sepatutnya menunggu keputusan daripada mahkamah rayuan. Keadilan mesti diberi kepada kedua-dua pihak, jangan sampai golongan lemah menjadi mangsa penindasan,” katanya. -The Merdeka Times