Connect with us

Terkini

Operasi Kampung Sungai Baru: Polis tidak kompromi, Tindakan tegas terhadap pencetus kekacauan

Published

on

Foto: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus
  • Operasi tersebut dilakukan mengikut perintah mahkamah dan pihaknya akan bertindak tegas sekiranya ada pihak yang cuba menentang.
  • Kita minta penduduk secara sukarela keluarkan barang-barang mereka dan membantu penduduk memudahkan urusan mereka sehingga ia selesai.
  • Ada dalam kalangan individu di sini dipercayai terbabit dengan aktiviti menimbulkan kekacauan, malah penduduk juga mengakui terdapat orang luar yang menimbulkan kekecohan.

KUALA LUMPUR – Polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba mengganggu ketenteraman penduduk serta pihak berkuasa menjalankan tugas dalam operasi pelaksanaan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu membabitkan 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata operasi tersebut dilakukan mengikut perintah mahkamah dan pihaknya akan bertindak tegas sekiranya ada pihak yang cuba menentang.

“Saya mewakili pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama ketua agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan memastikan operasi dilaksanakan dengan baik.

“Jadi hari ini, saya percaya daripada senarai yang saya perolehi untuk dikosongkan akan ada sedikit permasalahan, penduduk tidak bersedia untuk berpindah, kita cuba permudahkan, walaubagaimanapun mereka (penduduk) perlu buat pengosongan hari ini juga.

“Kita minta penduduk secara sukarela keluarkan barang-barang mereka dan membantu penduduk memudahkan urusan mereka sehingga ia selesai,” katanya kepada media di tapak operasi pelaksanaan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu membabitkan 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Mengulas mengenai kecederaan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman semasa protes rempuhan orang ramai beliau menegaskan ada beberapa tangkapan telah dibuat.

“Tindakan mencederakan pegawai saya dengan membaling objek adalah perkara yang saya cukup marah. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita hanya melaksanakan undang-undang.

“Sebagai komander operasi, ini adalah antara cabaran yang perlu dihadapinya apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan namun dalam insiden itu (rempuhan), ada beberapa individu yang ditahan dan kes ini akan disiasat mengikut Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Menurut Fadil, Sulizmie telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rawatan susulan di atas kecederaan yang dialaminya.

Fadil turut memberitahu, pihak polis mengesan sekumpulan individu dikenal pasti bukan penduduk Kampung Sungai Baru yang dipercayai cuba menimbulkan kekecohan.

“Ada dalam kalangan individu di sini dipercayai terbabit dengan aktiviti menimbulkan kekacauan, malah penduduk juga mengakui terdapat orang luar yang menimbulkan kekecohan.

“Saya menyeru kepada penduduk Kampung Sungai Baru supaya melaporkan sebarang aktiviti atau individu mencurigakan,” ujarnya. – The Merdeka Times.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author