Terkini
Kampung Sungai Baru tegang : OCPD Dang Wangi cedera, Penduduk enggan bersurai
- Insiden berlaku apabila kekecohan tercetus susulan rempuhan sekumpulan penduduk yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.
- Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian muka akibat rempuhan insiden itu
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan dalam operasi pengosongan bangunan dan pemotongan bekalan utiliti di Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.
Insiden berlaku apabila kekecohan tercetus susulan rempuhan sekumpulan penduduk yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.
Sulizmie dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian muka selepas dirempuh dalam insiden itu.
Operasi berkenaan dilaksanakan susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan.
Ia diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, termasuk pihak berkuasa tempatan dan polis.
Tinjauan The Merdeka Times di lokasi mendapati suasana tegang apabila ramai penduduk enggan bersurai walaupun diarahkan oleh anggota polis.
Mereka berhimpun sejak malam tadi sebagai tanda solidariti terhadap jiran yang terbabit dalam proses pengosongan.
Keadaan menjadi lebih kecoh apabila sebahagian penduduk bertindak mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk semula ke kawasan perumahan yang kini sedang dalam proses perobohan.
Setakat ini, keadaan masih dikawal pihak polis, namun beberapa penduduk tetap enggan berganjak dari lokasi dan menuntut supaya proses pengosongan ditangguhkan.-The Merdeka Times