Terkini
Sambut lawatan Trump dengan bijaksana, Malaysia perlu tegas suarakan isu Palestin – Mufti Kelantan
- “Kalau kita jemput, kita tak boleh halau. Jadi walau macam mana pun, ajaran agama kita menuntut kebijaksanaan. Kalau ada yang nak tunjuk perasaan sekalipun, biarlah pendekatan itu dilakukan dengan cara menghormati pemimpin-pemimpin dunia ini. Kalau kita beri sambutan negatif, hakikatnya mereka tidak akan peduli.”- Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad
- Mufti Kelantan menegaskan bahawa Malaysia seharusnya mengambil peluang tersebut untuk menyuarakan pendirian tegas mengenai Palestin, sekali gus mengangkat isu itu ke peringkat antarabangsa.
KOTA BHARU– Susulan jemputan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Mesyuarat ASEAN di Kuala Lumpur Oktober ini, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan bahawa setiap pemimpin dunia yang hadir ke Malaysia perlu disambut dengan penuh kebijaksanaan tanpa menimbulkan reaksi negatif yang boleh merugikan negara.
Beliau menekankan bahawa Islam sendiri menganjurkan tindakan berlandaskan kebijaksanaan, termasuk ketika berhadapan dengan tokoh antarabangsa yang membawa imej besar dalam geopolitik dunia.
“Kalau kita jemput, kita tak boleh halau. Jadi walau macam mana pun, ajaran agama kita menuntut kebijaksanaan. Kalau ada yang nak tunjuk perasaan sekalipun, biarlah pendekatan itu dilakukan dengan cara menghormati pemimpin-pemimpin dunia ini. Kalau kita beri sambutan negatif, hakikatnya mereka tidak akan peduli,” katanya.
Dalam konteks kehadiran Trump, Mufti Kelantan menegaskan bahawa Malaysia seharusnya mengambil peluang tersebut untuk menyuarakan pendirian tegas mengenai Palestin, sekali gus mengangkat isu itu ke peringkat antarabangsa.
“Walaupun kita negara kecil, suara kita boleh didengar oleh dunia. Masalah besar ialah umat Islam sendiri sudah hilang kewibawaan. Bila hilang kekuatan, seluruh negara Islam kehilangan maruah, dan isu Palestin memerlukan komitmen bersama umat Islam,” jelasnya.
Beliau menambah, badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sering terikat dengan kepentingan tertentu, sedangkan penderitaan rakyat Gaza terus berlarutan tanpa penyelesaian.
“Negara-negara Teluk pun ada yang memilih jalan selamat, sedangkan rakyat Gaza ditindas dengan begitu dahsyat. Mahu atau tidak, umat Islam mesti digerakkan dengan kesedaran bersama, memperkukuhkan ukhuwah Islamiah,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran Trump dan pemimpin kuasa besar lain harus dijadikan medan diplomasi Malaysia untuk menegaskan bahawa isu Palestin bukan lagi isu umat Islam semata-mata, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan perhatian masyarakat antarabangsa.
“Kalau kita tidak libatkan masyarakat dunia, orang di Gaza akan terus menjadi mangsa. Negara Islam mesti bersatu menentang kekejaman ini. Selagi tidak ada penyatuan, Palestin akan terus menjadi korban percaturan kuasa besar,” tegasnya lagi.
Mufti Kelantan turut menyeru rakyat Malaysia untuk tidak berdiam diri, sebaliknya mesti terus bersuara, berpegang pada prinsip Islam serta menggunakan kebijaksanaan dalam mendepani pemimpin dunia, termasuk Trump, demi menyampaikan mesej solidariti berterusan terhadap Palestin.-The Merdeka Times