Connect with us

Politik

AMANAH gesa Anwar Ibrahim tarik balik jemputan Trump ke mesyuarat ASEAN

Published

on

Foto: Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin Shah (kiri), Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (tengah) dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan).
  • AMANAH gesa Perdana Menteri Malaysia menarik balik jemputan kepada Donald Trump ke Mesyuarat ASEAN sebagai reaksi terhadap penglibatan AS dalam serangan Israel terhadap perunding Hamas di Doha, Qatar.
  • Amerika Syarikat dipercayai terlibat secara tidak langsung dalam serangan tersebut melalui sokongan senjata dan maklumat kepada Israel.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mengecam keras tindakan Israel yang dikatakan mengebom perunding Hamas di Doha, Qatar, dalam satu serangan yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap kedaulatan negara berkenaan dan undang-undang antarabangsa.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin Shah dalam satu kenyataan berkata, serangan tersebut berlaku ketika wakil Hamas sedang mengambil bahagian dalam rundingan berkaitan pembebasan tebusan Israel dan gencatan senjata, satu proses yang dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri.

“Serangan ini seharusnya membuka mata Amerika Syarikat bahawa Israel secara terang-terangan berhasrat menggagalkan rundingan damai dan mahu meneruskan serangan di Gaza,” kata beliau.

Tambahnya, tindakan Israel turut dilihat sebagai cubaan sabotaj terhadap usaha Qatar, sebuah negara yang memainkan peranan penting sebagai pengantara damai serta sekutu rapat kepada Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.

Menurut laporan, Israel dipercayai telah memaklumkan kepada Amerika Syarikat sebelum serangan dilakukan, malah pesawat dan senjata yang digunakan dalam serangan itu juga dipercayai buatan Amerika.

Raja Bahrin turut mendakwa Amerika Syarikat sebagai pembekal utama kepada jentera ketenteraan Israel dan menyifatkan tindakan mereka sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan sebuah negara Islam.

Dalam kenyataan yang paling tegas, Raja Bahrin Shah menggesa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menarik balik jemputan kepada bekas Presiden Donald Trump yang dijadual menghadiri Mesyuarat ASEAN di Kuala Lumpur bulan depan.

“Dengan pengabaian terbaru ini serta keterlibatan Amerika Syarikat terhadap kedaulatan Qatar, sebuah negara Islam, kami menggesa Perdana Menteri Malaysia menarik balik jemputan kepada Presiden Trump untuk menghadiri Mesyuarat ASEAN di Kuala Lumpur bulan depan,” tegas beliau. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author