Terkini
Persaingan sengit, pilihan tidak realistik antara punca pelajar gagal masuk universiti pilihan – Pakar
- “Jika timbul dakwaan berhubung diskriminasi, ia sebenarnya berpunca daripada kekangan tempat yang terhad di universiti awam. Daripada ribuan pelajar cemerlang yang memohon, hanya sebahagian kecil sahaja berjaya mendapat tempat.” – Pengarah Utama, Pejabat Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan) UIAM, Prof. Dr. Amir Akramin Shafie.
- “Walaupun seseorang pelajar memperoleh keputusan yang cemerlang, terdapat ribuan lagi pelajar lain yang turut sama cemerlang. Situasi ini menyebabkan tahap persaingan melonjak tinggi dan peluang menjadi semakin tipis,” jelasnya.
KUALA LUMPUR – Proses permohonan kemasukan pelajar ke universiti awam melalui sistem UPUOnline dijalankan secara telus berasaskan meritokrasi dengan penilaian menyeluruh terhadap pencapaian akademik dan kokurikulum tanpa mengira latar belakang kaum, kata Pengarah Utama, Pejabat Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Amir Akramin Shafie.
Menurut beliau, sistem ini telah digunapakai sejak sekian lama dan memastikan pelajar paling layak diberikan peluang, bergantung kepada markah merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program yang dipohon.
“Jika timbul dakwaan berhubung diskriminasi, ia sebenarnya berpunca daripada kekangan tempat yang terhad di universiti awam. Daripada ribuan pelajar cemerlang yang memohon, hanya sebahagian kecil sahaja berjaya mendapat tempat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan persaingan yang terlalu sengit menjadi faktor utama ramai pelajar gagal mendapat tempat di universiti idaman mereka, khususnya bagi program berprestij seperti perubatan dan kejuruteraan.
“Walaupun seseorang pelajar memperoleh keputusan yang cemerlang, terdapat ribuan lagi pelajar lain yang turut sama cemerlang. Situasi ini menyebabkan tahap persaingan melonjak tinggi dan peluang menjadi semakin tipis,” jelasnya.
Selain itu, katanya, faktor pemilihan program yang tidak realistik turut mempengaruhi keputusan kemasukan.
“Ada pelajar memilih program popular walaupun keputusan mereka tidak menepati syarat kelayakan. Akhirnya, mereka bukan sahaja gagal mendapat tempat dalam kursus tersebut, malah terlepas peluang untuk menyertai program lain yang lebih sesuai dengan kelulusan mereka,” ujarnya.
Prof. Amir menambah, terdapat juga calon yang kurang maklumat mengenai sistem UPUOnline, termasuk strategi menyusun pilihan universiti dan kursus secara lebih berkesan.
“Peranan pihak sekolah dan kaunselor amat penting dalam memberi bimbingan tepat kepada pelajar. Mereka perlu lebih proaktif mendidik calon agar membuat permohonan yang strategik serta realistik berdasarkan keputusan akademik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar kesedaran awam ditingkatkan dengan penyebaran maklumat jelas mengenai sistem UPUOnline secara berterusan kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat.
“Ini penting bagi mengelakkan salah faham, persepsi negatif atau spekulasi yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap ketelusan sistem sedia ada,” tegasnya. – The Merdeka Times