Terkini
Pihak pengurusan KLCC wajar mohon maaf secara terbuka – Ketua Pemuda Pas Selangor
- Beliau berasa amat kesal dengan tindakan kasar pasukan keselamatan pihak pengurusan yang menghalang saudara Tian Chua serta peserta lain melalui ruangan KLCC hanya kerana mereka memakai keffiyeh dan membawa bendera Palestin.
- Tindakan mengasari seorang tokoh yang telah berusia dan hanya memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin adalah amat memalukan.
- Alasan bahawa saudara Tian Chua membawa sebatang kayu yang dijadikan batang bendera adalah tidak masuk akal.
KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Suria KLCC wajar memohon maaf secara terbuka berhubung insiden antara anggota keselamatan mereka dengan seorang pengunjung di satu daripada pintu masuk pusat beli-belah itu.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata beliau merujuk kepada insiden yang berlaku melibatkan saudara Tian Chua selepas himpunan solidariti Palestin di ibu negara.
“Saya berasa amat kesal dengan tindakan kasar pasukan keselamatan pihak pengurusan yang menghalang saudara Tian Chua serta peserta lain melalui ruangan KLCC hanya kerana mereka memakai keffiyeh dan membawa bendera Palestin.
“Lebih mendukacitakan, walaupun telah dijelaskan bahawa mereka sekadar ingin pulang selepas himpunan, pihak keselamatan tetap berkasar dan bertindak tidak wajar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Tambahnya, tindakan mengasari seorang tokoh yang telah berusia dan hanya memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin adalah amat memalukan, apatah lagi ia berlaku di premis milik syarikat besar yang sepatutnya menghormati kebebasan rakyat Malaysia.
“Alasan bahawa saudara Tian Chua membawa sebatang kayu yang dijadikan batang bendera adalah tidak masuk akal. Menurut saudara Tian Chua, dari awal pihak keselamatan pusat beli-belah tersebut telah melarang pemakaian keffiyeh, membawa placard dan bendera Palestin masuk ke premis KLCC.
“Sehubungan itu, saya menuntut pihak pengurusan KLCC untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada saudara Tian Chua atas insiden yang berlaku. Kami juga mengingatkan semua pihak agar tidak tunduk kepada tekanan luar sehingga sanggup menindas rakyat sendiri yang menunjukkan solidariti kepada perjuangan Palestin,” tegasnya. – The Merdeka Times.