Connect with us

Terkini

Kerajaan perlu tegas, Pastikan sekolah luar ikut falsafah pendidikan negara

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.

 

  • Pakar pendidikan, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah menegaskan, mana-mana pihak luar yang mahu menubuhkan sekolah di negara ini perlu patuh kepada sistem Pendidikan nasional tanpa sebarang pengecualian.
  • “Misalnya, jika ada sekolah dari Tanah Besar China ingin dibangunkan di negara kita, kerajaan perlu bertegas dan mengambil tindakan proaktif agar ia mengikuti garis panduan serta falsafah pendidikan kebangsaan.
  • “Selain itu, sekolah-sekolah tersebut juga perlu mematuhi kurikulum kebangsaan, termasuk mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran lebih tegas dalam memastikan sekolah-sekolah dari luar negara yang wujud di Malaysia mematuhi undang-undang, garis panduan, serta falsafah pendidikan kebangsaan.

Pakar pendidikan, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah menegaskan, mana-mana pihak luar yang mahu menubuhkan sekolah di negara ini perlu patuh kepada sistem pendidikan nasional tanpa sebarang pengecualian.

“Misalnya, jika ada sekolah dari Tanah Besar China ingin dibangunkan di negara kita, kerajaan perlu bertegas dan mengambil tindakan proaktif agar ia mengikuti garis panduan serta falsafah pendidikan kebangsaan.

“Selain itu, sekolah-sekolah tersebut juga perlu mematuhi kurikulum kebangsaan, termasuk mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Menurut Abdul Halim, langkah penguatkuasaan daripada Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri perlu dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.

“Jika mahu bina sekolah di Malaysia, mereka mesti ikut sistem negara ini. Jika gagal, tindakan tegas termasuk hukuman perlu dilaksanakan.

“Ia penting agar pihak terbabit telus mematuhi garis panduan sedia ada dan tidak membelakangkan prinsip perpaduan yang mesti dipupuk kepada anak-anak serta generasi muda,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Halim menjelaskan, Malaysia sememangnya memiliki sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), yang menggunakan bahasa ibunda etnik tertentu sebagai bahasa pengantar.

Bagaimanapun, katanya, sekolah vernakular ini tertakluk kepada garis panduan kerajaan serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekolah vernakular sudah lama menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara. Kurikulumnya juga mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, malah ia turut menjadi antara lambang perpaduan kaum di negara ini,” jelas beliau.

Abdul Halim menegaskan, pendidikan seharusnya menjadi wadah penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia, bukan sebaliknya.

“Pendidikan adalah komponen penting untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa. Sekolah bukan tempat memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya perlu menyatukan generasi muda sejak di peringkat pra sekolah hingga ke pengajian tinggi,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author