Connect with us

Terkini

Rakyat Malaysia wajar taksub Bahasa Kebangsaan, Lambang jati diri bangsa – Ridhuan Tee

Published

on

Foto: Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan (kiri), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah (tengah), dan Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong
  • Pentingnya bahasa Melayu sebagai medium komunikasi di antara masyarakat berbilang kaum di negara.
  • Bahasa kebangsaan adalah identiti bangsa dan lambang kedaulatan sesebuah negara, jika bahasa Melayu dipinggirkan atas alasan meraikan kepelbagaian, ia hanya akan menghakis jati diri nasional dan membuka ruang kepada krisis identiti yang lebih parah.
  • bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan menjadi alat perpaduan, iaitu sebagai bahasa yang merentas pelbagai kaum.
  • rakyat Malaysia hendaklah memahami konsep bahasa negara secara amnya, dan peranan bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi secara khasnya.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia seharusnya ‘taksub’ dengan bahasa kebangsan kerana ia adalah perkara paling asas serta tanggungjawab yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah di Fakulti Pengajian Umum Dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), pentingnya bahasa Melayu sebagai medium komunikasi di antara masyarakat berbilang kaum di negara.

Tambah beliau, negara-negara maju juga kebanyakannya menuntut agar rakyatnya perlu mahir serta kuasai bahasa kebangsaannya.

“Bahasa kebangsaan adalah identiti bangsa dan lambang kedaulatan sesebuah negara, jika bahasa Melayu dipinggirkan atas alasan meraikan kepelbagaian, ia hanya akan menghakis jati diri nasional dan membuka ruang kepada krisis identiti yang lebih parah.

“Sebagai negara yang majmuk, bahasa Melayu yang digunakan sebagai medium untuk berkomunikasi serta berinteraksi, jika tidak mahir bagaimana mahu berkomunikasi atau berinterkasi antara satu sama lain.

“Kita boleh mengiktiraf malahan juga meraikan bahasa-bahasa kaum lain, walaubagaimanapun bahasa Melayu harus kekal sebagai medium dalam pendidikan, pentadbiran dan sosial negara,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Dalam pada itu, Tokoh bahasa dan persuratan negara, Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan berkata bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan menjadi alat perpaduan, iaitu sebagai bahasa yang merentas pelbagai kaum.

“Keharmonian rakyat menjadi syarat pembangunan negara dalam semua bidang termasuklah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Walaupun bahasa lain tidak dilarang penggunaannya, khasnya untuk perhubungan dalam kumpulan etnik tertentu, menurut Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu patut diutamakan dalam perhubungan yang melibatkan antara kaum,” jelasnya.

Tambahnya, masalah jurang penguasaan bahasa Melayu yang berpunca daripada kelainan sistem seperti sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan hendaklah diatasi.

“Sistem pendidikan mesti memastikan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang cukup bagi semua anak didik.

“Salah satu caranya ialah penyelarasan sukatan pelajaran dan penggunaan buku teks yang sama bagi mata pelajaran bahasa Melayu di kedua-dua aliran itu,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berpendapat sebagai rakyat Malaysia hendaklah memahami konsep bahasa negara secara amnya, dan peranan bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi secara khasnya.

“Dengan adanya pemahaman ini, tidak akan timbul persoalan mengapa bahasa Melayu yang didakwa sesetengah pihak bahawa nilai ekonominya yang tidak pun setinggi yang ada pada Bahasa Cina Mandarin, apatah lagi Bahasa Inggeris, wajib diutamakan pada setiap masa oleh semua rakyat, lebih-lebih lagi dalam konteks sebagai bahasa negara ini.

“Pemahaman ini harus diikuti dengan penghayatan bahawa nilai bahasa Melayu tidak terhingga tingginya dalam ranah kenegaraan. Ia adalah identiti nasional untuk Malaysia dan identiti budaya bagi rakyatnya.

“Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu mewakili negara dan rakyat Malaysia dari segi bahasa watannya manakala selaku bahasa rasmi, ia wajib digunakan oleh rakyat dalam semua urusan rasmi negara.

“Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara termaktub pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Atka Bahasa Kebangsaan 1963/1967,” tegasnya.

Beliau berkata perbezaan bahasa, budaya dan agama tidak sepatutnya menjadi tembok pengasingan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum kerana ia hanya wujud pada tahap domestik, iaitu dalam keluarga sendiri dan komuniti, yakni sesama kaum sendiri.

“Apabila pada tahap negara, perbezaan ini tidak patut wujud lagi atas dasar kita bersatu dalam kepelbagaian, untuk bergerak sederap sebagai komuniti nasional atas nama Bangsa Malaysia.

“Sehubungan tahap negara ini, bahasanya adalah bahasa Melayu sebagai bahasa negara manakala budayanya adalah budaya Melayu sebagai teras utama kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaa (1971) yang kini ikut diguna pakai pada Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN) serta Islam pula adalah agama persekutuan di negara ini,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author