Terkini
Pasang Jalur Gemilang terbalik: Cuai pun tetap dihukum – Timbalan Menteri Perpaduan
- “Sekiranya dibuat secara sengaja, kita ada Akta Hasutan 1948 yang mengenakan hukuman berat (kepada mereka didapati bersalah).
- “Jadi hukuman masih dijatuhkan kepada sesiapa yang melakukan (kesalahan) sama ada disebabkan kecuaian sendiri atau pekerja yang diamanahkan memasang bendera.” – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy
KUALA LUMPUR – Kecuaian tidak boleh dijadikan alasan bagi kesalahan memasang Jalur Gemilang secara terbalik kerana ia melibatkan maruah dan lambang kemegahan negara.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy, menegaskan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tidak akan berkompromi dalam isu yang menyentuh sensitiviti kenegaraan termasuk pemasangan bendera kebangsaan.
“Sekiranya dibuat secara sengaja, kita ada Akta Hasutan 1948 yang mengenakan hukuman berat (kepada mereka didapati bersalah).
“Jadi hukuman masih dijatuhkan kepada sesiapa yang melakukan (kesalahan) sama ada disebabkan kecuaian sendiri atau pekerja yang diamanahkan memasang bendera,” katanya semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mewakili KPN di Dewan Negara, hari ini.
Beliau memberi contoh kes sebuah klinik di Johor yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik baru-baru ini.
Walaupun pihak terbabit mengemukakan rayuan, premis tersebut tetap diarahkan tutup selama 30 hari sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak memandang ringan isu tersebut.
“Ia langkah memberi kesedaran kepada rakyat bahawa Jalur Gemilang mesti dihormati dan diberi penghormatan sewajarnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Saraswathy memaklumkan KPN telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) pada tahun ini bagi meneliti dan menangani insiden atau isu berkaitan perpaduan serta kenegaraan dengan lebih cepat, teratur dan berkesan.
Katanya, JPIP dianggotai pelbagai wakil agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta ahli akademik.
“Melalui kerjasama ini, kita mahu pastikan setiap isu sensitif berkaitan perpaduan dapat ditangani secara bersepadu dan menyeluruh,” tegasnya. -The Merdeka Times