Terkini
Awang Sariyan persoal tiada syarat lulus Bahasa Melayu di IPT
- “Di negara China, calon PhD perlu lulus dalam ujian bahasa negara, iaitu bahasa Mandarin, selain falsafah dan matematik. Di negara kita, bukan sahaja tiada syarat itu, kursus wajib bahasa Melayu pada peringkat ijazah pertama pun tidak ada atau dihentikan (kecuali mungkin IPT tertentu),” tulis Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan dalam Facebooknya.
- Awang menegaskan, kelemahan ini berpunca daripada sikap segelintir pimpinan yang meremehkan perjuangan bahasa, meskipun pejuang bahasa telah lama mengemukakan memorandum, desakan serta bukti ilmiah mengenai kepentingan bahasa kebangsaan.
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan mempersoalkan ketiadaan syarat kelulusan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) negara, sedangkan negara lain seperti China mewajibkan calon PhD lulus ujian bahasa kebangsaan selain Falsafah dan Matematik.
“Di negara China, calon PhD perlu lulus dalam ujian bahasa negara, iaitu bahasa Mandarin, selain falsafah dan matematik.
“Di negara kita, bukan sahaja tiada syarat itu, kursus wajib bahasa Melayu pada peringkat ijazah pertama pun tidak ada atau dihentikan (kecuali mungkin IPT tertentu),” tulis beliau dalam Facebooknya.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Awang Sariyan Kembara Bahasa.
Awang menegaskan, kelemahan ini berpunca daripada sikap segelintir pimpinan yang meremehkan perjuangan bahasa, meskipun pejuang bahasa telah lama mengemukakan memorandum, desakan serta bukti ilmiah mengenai kepentingan bahasa kebangsaan.
“Memorandum, pertemuan dengan pemimpin dan desakan demi desakan, namakan apa yang tidak dilakukan tetapi apabila ada pemimpin yang tidak positif kepada akar tamadun bangsa dan negara, tidak banyak perubahan yang berlaku,” tegasnya.

Foto : Tangkap layar di ruang komen Facebook Awang Sariyan Kembara Bahasa.
Tambah beliau, pejuang-pejuang bahasa tidak pernah leka dalam memperjuangkan bahasan di negara ini.
“Pejuang-pejuang bahasa tidak pernah leka dan berehat dan perjuangan bahasa di negara ini.
“Yang diharapkan kerajaan memberikan perhatian kepada peri pentingnya asas kenegaraan, termasuk bahasa negara sebagai faktor kemampanan negara, seperti yang berlaku di kebanyakan negara, terutama negara maju,” jelas beliau.-The Merdeka Times