Connect with us

Terkini

(VIDEO) Kedaulatan negara bukan tugas Maritim sahaja, Rakyat juga perlu berperanan – Timb Pengarah Operasi APMM Perak

Published

on

Foto: Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak, Komander Maritim Tan Ah Bik

LUMUT – “Hari Kemerdekaan bukan sekadar sambutan, ia adalah peringatan bahawa kedaulatan negara bukan hanya di bahu agensi penguat kuasa, tetapi juga tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.”

Itulah mesej patriotik yang ditekankan oleh Komander Maritim Tan Ah Bik, Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak, ketika ditemui dalam sesi eksklusif sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Berlatarbelakangkan kapal ronda KM Nusa yang baru selesai proses naik taraf, Tan Ah Bik menjelaskan bahawa semangat mempertahankan negara tidak hanya lahir di medan perang, tetapi juga di lautan  di mana anggota Maritim berkorban masa, tenaga dan nyawa demi memastikan perairan negara sentiasa selamat.

“Rakyat juga mempunyai peranan besar. Kesedaran dan sikap patriotik itu boleh diterjemahkan dengan cara paling mudah menyalurkan maklumat kepada pihak Maritim jika nampak sebarang aktiviti mencurigakan di laut. Maklumat ini amat penting bagi kami untuk bertindak pantas mencegah ancaman jenayah rentas sempadan,” katanya.

Bagi kru Maritim, rutin mereka jauh berbeza daripada kehidupan darat. Setiap misi rondaan memerlukan mereka berada di lautan berhari-hari tanpa henti.

Foto: Anggota Maritim melakukan rondaan demi memastikan perairan negara sentiasa selamat.

Bagi kapal ronda KM Nusa, dengan hanya 12 orang anggota, mereka perlu menggalas tanggungjawab mengawal kawasan perairan sehingga ke sempadan Indonesia.

Cabaran utama, kata Tan Ah Bik, adalah cuaca buruk, bot nelayan asing yang cuba melarikan diri, serta risiko operasi menyelamat mangsa hanyut di laut.

“Keselamatan anggota adalah keutamaan, tapi dalam masa sama kita tidak boleh berkompromi dengan kedaulatan negara,” tegasnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sindiket penyeludupan manusia masih cuba mengeksploitasi laluan laut, dengan caj antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang bagi migran yang mahu menyusup masuk ke Malaysia.

Foto: Anggota Maritim melakukan rondaan demi memastikan perairan negara sentiasa selamat.

“Risikonya sangat besar, bot kecil yang sarat dengan penumpang boleh terbalik bila-bila masa, dan itu menimbulkan kos nyawa yang amat tinggi,” jelasnya.

Mengakhiri pesannya, Tan Ah Bik mengajak rakyat Malaysia menjiwai erti kemerdekaan dengan lebih mendalam.

Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak.

“APMM akan terus beroperasi siang dan malam, tapi menjaga kedaulatan bukanlah tanggungjawab Maritim semata-mata. Ia adalah amanah bersama. Rakyat Malaysia mesti bersatu, saling membantu dan kekal patriotic, itulah makna sebenar kemerdekaan,” katanya penuh semangat.

Sambil mengibarkan Jalur Gemilang di laut lepas, wira-wira Maritim terus berbakti tanpa menuntut perhatian.

Di sebalik laungan keramat Merdeka! yang bakal dilaungkan pada 31 Ogos nanti, mereka tetap setia di samudera memastikan tanah air ini kekal merdeka dan berdaulat. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author