Connect with us

Terkini

RUU Pembaharuan Semula Bandar ditangguh, Tidak dibahas di Dewan Rakyat hari ini

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Menurut sumber , RUU berkenaan hanya akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sebelah petang, namun tidak akan melalui proses perbahasan mahupun undian.
  • “Tangguh untuk diperhalusi lagi. Akan dibawa ke sidang akan datang,” katanya ringkas ketika dihubungi media hari ini.
  • Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PN), turut mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook dengan menyifatkan langkah berkenaan sebagai kemenangan kepada rakyat. 

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 tidak akan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini selepas diputuskan untuk ditangguhkan ke sidang akan datang.

Menurut sumber , RUU berkenaan hanya akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sebelah petang, namun tidak akan melalui proses perbahasan mahupun undian.

“Tangguh untuk diperhalusi lagi. Akan dibawa ke sidang akan datang,” katanya ringkas ketika dihubungi media hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PN), turut mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook dengan menyifatkan langkah berkenaan sebagai kemenangan kepada rakyat.

“PSB tidak dibahas dan tidak diundi hari ini. Satu lagi kemenangan kepada rakyat. Teruskan menentang,” katanya.

Difahamkan, penangguhan itu dibuat selepas timbul pelbagai kebimbangan dan bantahan, termasuk daripada beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PKR.

Terdahulu, Pengerusi BN merangkap Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan, memaklumkan Ahli Parlimen parti itu sepakat untuk meminta penangguhan selepas mengadakan mesyuarat bersama.

RUU PSB sebelum ini mencetuskan kontroversi dan bantahan pelbagai pihak, termasuk satu himpunan yang diadakan di hadapan pintu masuk Parlimen minggu ini, mendesak agar kelulusannya tidak diteruskan.

Untuk rekod, RUU berkenaan dibentangkan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada Khamis lalu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, RUU PSB sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kali kedua selepas selesai perbahasan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025.

Sidang Dewan Rakyat seterusnya dijadual berlangsung pada 6 Oktober hingga 4 Disember depan selama 35 hari, dengan tumpuan utama terhadap pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 oleh Menteri Kewangan pada 10 Oktober.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author