Terkini
(VIDEO) PLANMalaysia nafi dakwaan Urban Renewal Act usir Melayu dari bandar
- Dalam wawancara bersama Analisis Bersama Finaz Yunus terbitan The Merdeka Times, Ketua Pengarah PLANMalaysia, KPKT, Datuk Town Planner Dr. Alias Ramli menolak tuduhan yang mengaitkan RUU itu dengan “Union 2.0” atau usaha mengusir masyarakat asal bandar.
- “Ada yang kata nak usir masyarakat Melayu, golongan termiskin keluar bandar. Ada yang kata bias kepada pihak pemaju. Saya nak tegaskan, itu tidak benar. Kami sebagai penjawat awam di KPKT merancang berdasarkan prinsip dan undang-undang, bukan untuk ‘scam’ sesiapa,” katanya.
KUALA LUMPUR — Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Town Planner Dr. Alias Ramli menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) bukanlah taktik untuk menyingkirkan masyarakat Melayu atau golongan miskin dari kawasan bandar.
Dalam wawancara bersama Analisis Bersama Finaz Yunus terbitan The Merdeka Times, Dr. Alias menolak tuduhan yang mengaitkan RUU itu dengan “Union 2.0” atau usaha mengusir masyarakat asal bandar.
“Ada yang kata nak usir masyarakat Melayu, golongan termiskin keluar bandar. Ada yang kata bias kepada pihak pemaju. Saya nak tegaskan, itu tidak benar. Kami sebagai penjawat awam di KPKT merancang berdasarkan prinsip dan undang-undang, bukan untuk ‘scam’ sesiapa,” katanya.
Beliau menjelaskan, proses pengenalpastian tapak yang dikenal pasti bagi tujuan pembaharuan bandar telah dilakukan sejak lebih 10 hingga 15 tahun lalu dengan merujuk kepada kriteria tertentu seperti bangunan berusia lebih 30 tahun, tidak selamat, terbengkalai atau tidak lagi dapat diuruskan pemilik asal.
“Prosesnya jelas. Selepas tapak dikenal pasti, ia melalui proses pengesahan awam, kelulusan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sebelum diwartakan. Tidak ada campur tangan pemaju atau pelabur dalam peringkat awal ini,” katanya.
Menurut beliau, isu berkaitan rumah usang perlu ditangani dengan kaedah pembaharuan bandar supaya pemilik mendapat manfaat lebih baik, termasuk unit rumah baharu yang lebih luas dan selesa, selain kemudahan awam moden.
“Rumah kecil lama 400 kaki persegi akan diganti dengan unit minimum 750 kaki persegi. Nilai hartanah juga meningkat berkali ganda. Prinsipnya jelas, hak pemilik dilindungi, bukan dirampas,” ujar beliau.
Dr. Alias menegaskan, kerajaan melalui PLANMalaysia dan KPKT berpegang pada 10 prinsip utama dalam pelaksanaan pembaharuan bandar, termasuk persetujuan pemilik, perlindungan hak rakyat dan proses perundangan yang telus.
“Tidak timbul soal merampas tanah atau mengusir rakyat asal. Yang menggubal undang-undang ini pun penjawat awam Melayu, dan kami tidak akan mengkhianati amanah mempertahankan rakyat,” katanya lagi. -The Merdeka Times