Agama
MyBurgerLab & Racun Islamofobia: Bila komen jadi bom sosial
Insiden terkini melibatkan bekas COO MyBurgerLab, Andrew Chong, yang mengaitkan pelaksanaan undang-undang Syariah dengan “bahaya ekstremisme” sehingga menyamakan Malaysia dengan Iran, telah membuka luka besar dalam landskap sosial negara.
Walaupun komen itu telah dipadam, kesannya tetap membekas. Ia bukan lagi sekadar isu komunikasi korporat, tetapi cerminan wajah Islamofobia yang semakin menular.
Menghina atau memperlekehkan undang-undang Syariah di negara majoriti Muslim seperti Malaysia tidak boleh dianggap sebagai “pendapat peribadi” semata-mata.
Ia adalah satu bentuk Islamofobia, kerana ia menstigmakan ajaran Islam sebagai ekstrem, sekaligus mewujudkan persepsi negatif terhadap umat Islam.
Sikap sebegini tidak hanya menghina, malah berpotensi mengundang retak pada asas kepercayaan antara kaum dan agama di negara ini.
MyBurgerLab telah mengambil tindakan pantas, memecat COO tersebut dan memohon maaf kepada umat Islam, selain berjanji mengadakan latihan sensitiviti budaya dengan JAKIM.
Namun, permohonan maaf dan tindakan korporat tidak seharusnya mengaburkan persoalan asas iaitu mengapa masih ada golongan elit yang melihat Islam melalui lensa prasangka dan ketakutan?
Kita tidak boleh menafikan hak kebebasan bersuara, tetapi kebebasan itu datang dengan tanggungjawab.
Apabila sesuatu komen mengheret agama majoriti ke dalam naratif kebencian, ia bukan sekadar tidak sensitif, ia adalah provokasi yang membakar. Inilah yang membezakan kebebasan berpendapat dengan Islamofobia.
Malaysia telah lama dikenali sebagai sebuah negara majmuk yang dibina atas asas saling hormat.
Islamofobia, sama ada dalam bentuk komen individu, jenaka sinis, atau produk komersial yang menghina, adalah barah yang menghakis nilai tersebut.
Kita sudah melihat bagaimana insiden stoking bertulis “Allah” di KK Super Mart sebelum ini mengundang kemarahan besar. Kini, komen seorang eksekutif kanan syarikat makanan pula dijadikan bahan perpecahan.
Islamofobia tidak boleh ditoleransi di Malaysia.
Ia bukan sekadar penghinaan terhadap agama, tetapi satu ancaman nyata terhadap perpaduan nasional. Jika dibiarkan, ia akan melahirkan masyarakat yang semakin curiga, semakin renggang, dan akhirnya semakin terpisah.
Malaysia tidak boleh menjadi medan ujian bagi mereka yang mahu menjadikan Islam bahan ejekan atau propaganda.
Tanggungjawab semua pihak termasuk kerajaan, syarikat, media, dan rakyat adalah jelas. Berhenti menormalisasikan Islamofobia, mula menuntut hormat, dan bangunkan kembali ruang dialog yang beradab.
Kerana pada akhirnya, perpaduan negara ini bukan sekadar slogan politik, tetapi masa depan bersama. Dan masa depan itu akan musnah jika kita membiarkan Islamofobia terus berakar. -The Merdeka Times