Terkini
(VIDEO) Doktor fokus selamatkan nyawa Zara Qairina, Sebelum siasat unsur buli – Menteri
- Mengenai dakwaan buli yang dikaitkan dengan kes tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa pada ketika Zara Qairina dikejarkan ke hospital, pihak perubatan tidak mempunyai maklumat mengenai unsur itu.
- “Pada momen itu, siapa pun tidak tahu ada elemen buli. Keutamaan doktor ialah selamatkan nyawa. Sekarang barulah kita tahu ada elemen itu,” katanya.
KUALA LUMPUR — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa laporan perubatan ke atas Zara Qairina Mahathir iaitu pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Limauan, Sabah, adalah lengkap dan komprehensif.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat berhubung adakah pemeriksaan komprehensif dilakukan terhadap Zara Qairina sewaktu beliau tiba di hospital.
“Saya baca laporan penuh. Ketika arwah jatuh, dia masih bernafas dan disahkan oleh penolong pegawai perubatan. Jadi dia bukan meninggal di sekolah. Pada ketika itu, doktor beri keutamaan untuk selamatkan nyawa dahulu,” katanya.
Menurut Saifuddin, hanya selepas rawatan kecemasan diberikan, barulah laporan perubatan menyatakan punca kematian.
“Doktor sebut dalam terminologi perubatan, tetapi dalam bahasa mudah, kecederaan teruk pada otak menghalang oksigen sampai. Itulah punca kematian,” jelas beliau.
Mengenai dakwaan buli yang dikaitkan dengan kes tersebut, beliau menegaskan bahawa pada ketika Zara Qairina dikejarkan ke hospital, pihak perubatan tidak mempunyai maklumat mengenai unsur itu.
“Pada momen itu, siapa pun tidak tahu ada elemen buli. Keutamaan doktor ialah selamatkan nyawa. Sekarang barulah kita tahu ada elemen itu,” katanya.
Saifuddin turut menekankan bahawa laporan lengkap termasuk butiran perubatan telah pun direkodkan oleh pihak hospital. Bagaimanapun, beliau menegaskan beberapa perkara terperinci tidak boleh didedahkan kerana ia akan diputuskan menerusi prosiding inkues.
“Kalau ditanya sama ada laporan perubatan itu lengkap dan komprehensif, jawapannya ya. Semua telah dibuat, semua telah ditulis. Tidak ada masalah,” tegasnya.
Beliau menambah, kerajaan tidak akan campur tangan dalam perincian siasatan yang kini menjadi sebahagian daripada proses inkues.
“Biar inkues tentukan. Saya hanya menjawab berdasarkan taklimat yang diberikan kepada saya,” katanya.-The Merdeka Times