Connect with us

Terkini

Perkataan ‘Menghina’ & ‘Menjengkelkan’ Seksyen 233 AKM tidak berperlembagaan – Mahkamah Rayuan

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perkataan “menghina” dan “menjengkelkan” dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) adalah tidak berperlembagaan, kerana bercanggah dengan Perkara 10 (kebebasan bersuara) dan Perkara 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan.
  • Keputusan itu sekali gus membatalkan sebahagian peruntukan Seksyen 233 AKM, menjadikan komunikasi yang bersifat menghina atau menjengkelkan tidak lagi dikira sebagai kesalahan jenayah di bawah seksyen tersebut.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa perkataan “menghina” dan “menjengkelkan” dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) adalah tidak berperlembagaan, sekali gus membatalkan sebahagian peruntukan tersebut.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Lee Swee Seng, sebulat suara berpendapat bahawa kedua-dua istilah itu bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara, apabila dibaca bersama Perkara 8 yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang.

Keputusan itu dibuat selepas membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah Gaik Li, pengasas NGO Refuge for the Refugees, yang mencabar peruntukan berkenaan.

Panel berpendapat, tiada kaitan rasional antara komunikasi yang dianggap “menghina atau menjengkelkan” dengan ancaman terhadap ketenteraman awam.

Menurut penghakiman, Swee Seng menegaskan bahawa kebenaran kadangkala menyakitkan, namun tidak wajar dianggap jenayah semata-mata kerana seseorang berasa tersinggung.

“Jika tindakan seperti ini dihukum, kebebasan bersuara akan terancam. Pepatah Melayu ada menyebut, siapa makan cili dia terasa pedas,” katanya.

Kes Quah bermula pada 2020 apabila beliau didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) kerana memuat naik hantaran Facebook berhubung layanan terhadap pelarian di pusat tahanan imigresen.

Beliau berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.

Pada 2022, Mahkamah Sesyen melepasinya tanpa dibebaskan, sebelum beliau memohon untuk dilepaskan sepenuhnya.

Mahkamah Rayuan menekankan bahawa isu utama ialah skop Seksyen 233 yang terlalu luas, tanpa pengecualian bagi ucapan berbentuk kritikan walaupun berasaskan fakta.

“Jika kandungan benar, agensi berkaitan wajar menambah baik prosedur mereka. Jika palsu, tindakan undang-undang boleh diambil,” jelas penghakiman itu.

Mahkamah turut menegaskan keputusan hanya berkuat kuasa ke hadapan dan tidak menjejaskan kes-kes lampau. Tiada perintah kos diberikan kerana kes ini melibatkan isu perlembagaan.

Quah diwakili barisan peguam diketuai Datuk Malik Imtiaz Sarwar, manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin bersama dua penasihat undang-undang Kementerian Komunikasi.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author