Terkini
Malaysia pertahan jemputan Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN
- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan ia adalah peluang penting bagi Malaysia dan negara anggota lain menyuarakan terus pandangan mereka kepada Washington untuk menyatakan pendirian tegas terhadap kekejaman Israel di Gaza.
- Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mencelah dengan mempersoalkan kewajaran menjemput Trump yang menurutnya ‘tangannya berlumuran darah rakyat Gaza yang tidak berdosa’. Beliau turut bertanya sama ada Malaysia akan membentangkan ‘permaidani merah’ untuk ketibaan Presiden AS itu.
KUALA LUMPUR – Malaysia akan memanfaatkan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini untuk menyatakan pendirian tegas terhadap kekejaman Israel di Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata meskipun jemputan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menimbulkan persoalan, beliau menegaskan ia adalah peluang penting bagi Malaysia dan negara anggota lain menyuarakan terus pandangan mereka kepada Washington.
“Kita menegaskan bahawa Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri, berkemungkinan besar akan menyentuh isu Gaza dalam ucapan pembukaan sidang kemuncak nanti.
“Melalui platform itu, ASEAN boleh menekankan bahawa AS sebagai kuasa besar bertanggungjawab membantu mencari penyelesaian segera kepada krisis Gaza,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mencelah dengan mempersoalkan kewajaran menjemput Trump yang menurutnya ‘tangannya berlumuran darah rakyat Gaza yang tidak berdosa’. Beliau turut bertanya sama ada Malaysia akan membentangkan ‘permaidani merah’ untuk ketibaan Presiden AS itu.
Menjawab kritikan itu, Mohamad menegaskan bahawa jemputan kepada Trump dibuat atas kapasiti beliau sebagai ketua negara yang hadir sidang kemuncak, sejajar dengan protokol diplomatik.
Katanya, kunjungan tersebut wajar dimanfaatkan untuk memberi peluang kepada ASEAN menyuarakan secara langsung pendirian berhubung konflik Palestin-Israel.
“Seperti mana Malaysia sebelum ini menyatakan pendirian ketika Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, hadir dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN, perkara yang sama boleh dilakukan terhadap Trump,” jelasnya.
Menurut Mohamad, pertemuan secara bersemuka itu akan membolehkan ASEAN menegaskan pendirian bersama mengutuk kekejaman Israel, serta mendesak AS mengambil langkah lebih tegas ke arah menghentikan penderitaan rakyat Palestin. -The Merdeka Times