Terkini
Akmal Salleh cabar DAPSY putus kerjasama politik
- “Putus hubungan dengan saya = putus hubungan dengan Pemuda UMNO = putus hubungan dengan UMNO. Bring it on,” Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh
- Gesaan itu dibuat selepas DAPSY Pulau Pinang menuduh Dr. Akmal semakin melampau dalam berpolitik sehingga menjadi ancaman kepada keharmonian nasional dan kedaulatan undang-undang, selain mendakwa beliau secara terbuka mengugut pendakwa raya serta menganjurkan himpunan di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, selepas pemilik premis itu dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.
KUALA LUMPUR — “Bring it on.”
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh, membalas tegas gesaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang yang mahu semua bentuk kerjasama politik dengan beliau diputuskan, termasuk pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Gesaan itu dibuat selepas DAPSY Pulau Pinang menuduh Dr. Akmal semakin melampau dalam berpolitik sehingga menjadi ancaman kepada keharmonian nasional dan kedaulatan undang-undang, selain mendakwa beliau secara terbuka mengugut pendakwa raya serta menganjurkan himpunan di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, selepas pemilik premis itu dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.
Menjawab kenyataan tersebut melalui hantaran di Facebook, Dr. Akmal mencabar DAPSY meneruskan tindakan tersebut.
“Putus hubungan dengan saya = putus hubungan dengan Pemuda UMNO = putus hubungan dengan UMNO. Bring it on,” tegas beliau.
Beliau turut mempertahankan himpunan Solidariti Jalur Gemilang di Kepala Batas semalam sebagai berlangsung secara aman tanpa sebarang tindakan menghina pemimpin, berbeza dengan perhimpunan yang pernah dianjurkan pembangkang sebelum ini walaupun menerima arahan polis untuk tidak berhimpun.
“Kami berhimpun secara aman, dan tidak ada langsung gambar muka pemimpin kamu dipijak semalam. Nak lapor polis? Bring it on, saya sedia untuk berikan kerjasama. Untuk takut kepada kamu? Tidak sama sekali,” katanya.
Menurutnya, perarakan itu tidak bermotifkan politik, sebaliknya bertujuan mempertahankan Jalur Gemilang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan perhimpunan berjalan lancar.
Dr. Akmal mendakwa ketegangan hanya tercetus selepas kumpulan Lawyers for Liberty (LFL) yang diketuai Zaid Malek hadir dengan mempamerkan plakad bertulis “jangan bersikap zionist”, yang disifatkannya sebagai tindakan provokasi.
“Merekalah penunggang, pembuli dan pencetus kekacauan sebenar,” ujarnya.
Beliau memaklumkan telah dihubungi pegawai penyiasat dari Bukit Aman untuk hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada jam 11 malam ini.
“Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk pertahankan maruah negara ini, saya rela dan akan lawan habis-habisan. Untuk takut kepada puak-puak mereka, tidak sama sekali. No fear, no surrender,” tegasnya. -The Merdeka Times