Terkini
SKMM siasat video gelandangan diberi tulang ayam
- Dalam kenyataan hari ini, SKMM menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
- “SKMM memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan, dan menimbulkan keresahan orang ramai.
- “Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” katanya sambil memaklumkan siasatan dijalankan bersandarkan aduan orang ramai.
KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan siasatan berhubung penyebaran video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
Dalam kenyataan hari ini, SKMM menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“SKMM memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan, dan menimbulkan keresahan orang ramai.
“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” katanya sambil memaklumkan siasatan dijalankan bersandarkan aduan orang ramai.
SKMM turut mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan bersifat provokatif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Sebarang kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Semalam, tiga remaja berbangsa Cina dilaporkan telah mencetuskan kemarahan netizen selepas tular video mereka yang didakwa bersikap biadab apabila memberikan sebungkus nasi berlaukkan tulang ayam dipercayai daripada bekas sisa makanan mereka kepada seorang pengemis, kononnya untuk berbuat kerja kebajikan.
Pada hari sama, ketiga-tiga individu terbabit telah tampil memohon maaf atas tindakan mereka dan mendakwa adegan bersama pengemis tersebut dilakukan selepas mendapat persetujuan lelaki terbabit terlebih dahulu. — The Merdeka Times