Terkini
Gaji minimum RM1,700 kini berkuat kuasa sepenuhnya
- Kementerian Sumber Manusia menegaskan majikan wajib mematuhi peraturan baharu itu, yang mula berkuat kuasa hari ini.
- Selain kadar bulanan dan kadar sejam, kementerian turut menggariskan kadar harian gaji minimum berdasarkan jumlah hari bekerja dalam seminggu:
PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini mengumumkan pelaksanaan sepenuhnya Perintah Gaji Minimum 2024, yang menetapkan kadar baharu gaji minimum RM1,700 sebulan atau RM8.72 sejam kepada semua pekerja yang layak.
Dalam kenyataan rasmi melalui media sosial, KSM menegaskan bahawa majikan wajib mematuhi peraturan baharu itu, yang mula berkuat kuasa hari ini.
Pelaksanaan ini selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan tenaga kerja dan menjayakan prinsip keadilan sosial di bawah gagasan Malaysia MADANI.
Selain kadar bulanan dan kadar sejam, kementerian turut menggariskan kadar harian gaji minimum berdasarkan jumlah hari bekerja dalam seminggu:
- RM65.38 sehari bagi pekerja yang bekerja 6 hari seminggu,
- RM78.46 sehari bagi yang bekerja 5 hari seminggu, dan
- RM98.08 sehari untuk mereka yang bekerja 4 hari seminggu.
KSM menyeru semua majikan untuk segera menyemak semula kontrak kerja dan struktur bayaran gaji pekerja masing-masing agar sejajar dengan ketetapan baharu ini.
Maklumat lanjut dan garis panduan lengkap berkaitan pelaksanaan ini boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi kementerian di minimumwages.mohr.gov.my.
Kementerian turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus komited memastikan kebajikan dan hak pekerja sentiasa terpelihara, sejajar dengan aspirasi negara untuk membina sebuah masyarakat yang lebih saksama dan inklusif.
Pelaksanaan ini dijangka memberi manfaat besar kepada golongan pekerja berpendapatan rendah, sekali gus mengurangkan jurang ketidaksamaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. -The Merdeka Times