Connect with us

Terkini

Kerajaan tak teruskan pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata keputusan tersebut dibuat kerana semakan terhadap cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang telah diperluaskan kepada kadar 5% hingga 10% telah mengambil kira barangan mewah.
  • “Kerajaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai bernilai tinggi atau High Value Goods Tax, tetapi prinsip bagi pengenaan HVGT tersebut telah diterapkan dalam kajian semula cukai jualan yang mana barang mewah dan pilihan dikenakan cukai pada kadar 5% atau 10%,” katanya.

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT), kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat kerana semakan terhadap cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang telah diperluaskan kepada kadar 5% hingga 10% telah mengambil kira barangan mewah.

“Kerajaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai bernilai tinggi atau High Value Goods Tax, tetapi prinsip bagi pengenaan HVGT tersebut telah diterapkan dalam kajian semula cukai jualan yang mana barang mewah dan pilihan dikenakan cukai pada kadar 5% atau 10%,” katanya yang dilaporkan MalaysiaKini.

Beliau turut menyatakan bahawa peluasan SST dijangka menjana pendapatan sebanyak RM5 bilion bagi tahun 2024, dan angka ini dijangka meningkat kepada RM10 bilion menjelang 2026.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli (BN), Anwar turut memberikan perkembangan tentang beberapa inisiatif fiskal lain.

Cukai Barang Bernilai Rendah (LVG), yang mula berkuat kuasa tahun lalu, telah menjana hasil sebanyak RM500 juta setakat 2024. Manakala Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital yang diperkenalkan sejak 2020 pula mencatatkan pendapatan RM1.6 bilion pada tahun yang sama.

Selain itu, Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang diperkenalkan pada Mac 2024 dijangka menjana hasil tahunan sebanyak RM800 juta.

Pada penghujung 2023, Anwar pernah mengumumkan pelaksanaan HVGT dalam ucapan Belanjawan 2024, dengan tarikh pelaksanaan awal yang dijadualkan pada 1 Mei 2024.

Namun, pada Mac 2024, kerajaan masih berbincang dengan pihak berkepentingan bagi memuktamadkan butiran pelaksanaan.

Menurut Anwar, penangguhan pelaksanaan tersebut adalah bagi memberi ruang memperhalusi dasar dan perundangan berkaitan agar ia dilaksanakan secara teratur, cekap dan sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author