Connect with us

Antarabangsa

Konvoi Sumud Nusantara: Lapan negara tuntut sekatan di Gaza dihentikan

Published

on

Foto: Gerakan 'Konvoi Sumud Nusantara'.
  • Satu konvoi kemanusiaan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dan gerakan anak muda dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina, dan Maldives telah dilancarkan hari ini bagi menuntut sekatan yang menindas rakyat Gaza dihentikan segera.
  • Konvoi itu akan merentas daratan dan lautan dari Nusantara ke Gaza, menurut kenyataan media Sumud Nusantara hari ini.
  • Fasa terakhir misi itu akan menyaksikan delegasi terpilih dari setiap negara menaiki kapal-kapal Global Sumud Flotilla, bagi menuntut agar kepungan dan kebuluran dihadapi Gaza dihentikan sepenuhnya.

KUALA LUMPUR — Satu konvoi kemanusiaan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dan gerakan anak muda dari lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina, dan Maldives telah dilancarkan hari ini bagi menuntut sekatan yang menindas rakyat Gaza dihentikan segera.

Gerakan dinamakan sebagai ‘Konvoi Sumud Nusantara’ yang bermaksud “keteguhan dari Nusantara” akan membawa suara rakyat biasa yang enggan terus menjadi penonton kepada ribuan penduduk Gaza tidak bersalah yang secara perlahan-lahan berdepan kematian akibat kelaparan berikutan sekatan bantuan dan sempadan ditutup.

Menurut kenyataan media Sumud Nusantara, kebuluran yang sedang dihadapi penduduk Gaza ketika ini tidak akan pernah berakhir selagi mana masyarakat luar hanya berdiam diri melihatnya.

“Berbulan-bulan, bantuan untuk Gaza tersadai di sempadan membusuk, rosak, terbiar sementara ribuan insan tidak bersalah terpaksa minum dari tandas dan mati perlahan-lahan dalam kelaparan.

“Kebuluran ini bukan kebetulan. Ia dicipta oleh manusia dan ia tidak akan berakhir jika kita hanya berdiam diri,” kata kenyataan itu yang dikongsikan kepada The Merdeka Times hari ini.

Sumud Nusantara adalah inisiatif Global Selatan yang bekerjasama untuk memimpin moral zaman ini, sekali gus memperlihatkan bahawa mereka bukan lagi sebuah negara kepada mangsa sejarah.

Dengan dinaungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, konvoi itu akan merentas daratan dan lautan dari Nusantara ke Gaza, kata kenyataan tersebut.

Fasa terakhir misi ini akan menyaksikan delegasi terpilih dari setiap negara menaiki kapal-kapal Global Sumud Flotilla, bagi menuntut agar kepungan dan kebuluran dihadapi Gaza dihentikan sepenuhnya.

Foto: Tangkap layar kenyataan media Sumud Nusantara.

Sumud Nusantara akan dilancarkan dengan perhimpunan serentak melibatkan dua juta peserta di lima buah negara, membabitkan Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives dan Filipina yang disiarkan secara langsung merentasi sempadan.

Dari situ, konvoi akan diteruskan melalui puluhan bandar dan desa di Indonesia, Thailand dan Malaysia sekali gus mengumpulkan ratusan ribu penyokong lain dalam gelombang solidariti rakyat.

“Perjalanan ini akan memuncak di Kuala Lumpur, di mana delegasi terpilih dari setiap negara akan berlepas ke Eropah dan pelabuhan-pelabuhan terpilih lain bagi menyertai kapal- kapal dalam armada Freedom Flotilla.

“Bersama, mereka akan belayar menuju Gaza — bukan sekadar membawa bantuan, tetapi membawa suara kolektif Global South yang bangkit dan menuntut agar sekatan yang menindas rakyat Gaza dihentikan segera,” katanya tanpa menyatakan tarikh konvoi itu akan bermula.

Dalam masa sama, mereka turut menggesa kerajaan untuk menuntut pembukaan sempadan Rafah bagi membenarkan bantuan disalurkan tanpa sekatan. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author