Connect with us

Terkini

“Piya hanya koko, madu dan rempah semula jadi”– eHati tampil nafi dakwaan fitnah

Published

on

Foto: Pengasas bersama eHati, Diyana Tahir (kiri) dan Rahim Shukor (kanan)
  • eHati menegaskan bahawa minuman itu hanya terdiri daripada koko asli, madu dan rempah semula jadi yang berfungsi menenangkan minda dan tubuh.
  • Mereka menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa minuman tersebut mengandungi bahan terlarang atau ‘cendawan ajaib’.
  • Pihak eHati memaklumkan bahawa tiada aduan rasmi pernah diterima daripada mana-mana peserta program. Sebaliknya, ramai peserta memuji kesan positif yang dirasai.
  • Satu laporan polis telah dibuat pada 12 Julai, termasuk laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

KUALA LUMPUR— Syarikat eHati International Sdn Bhd tampil menjelaskan beberapa dakwaan yang tular di media sosial melibatkan kandungan program dan produk minuman Piya yang ditawarkan mereka, yang disifatkan sebagai tidak tepat dan berunsur fitnah.

Pengasas bersama eHati, Diyana Tahir dan Rahim Shukor menegaskan bahawa tuduhan tersebut telah mencemarkan nama baik syarikat serta keluarga mereka.

Menurut kenyataan rasmi, sejak 2 Julai lalu, beberapa hantaran daripada akaun Facebook Masyitah Ashari telah tersebar meluas dengan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap mereka dan program eHati.

Mereka menyatakan bahawa kesemua program yang dijalankan dibangunkan secara profesional, mematuhi kod etika dan sejajar dengan nilai budaya serta agama tempatan.

Foto: Sebahagian kenyataan media eHati yang disiarkan di Facebook Diyana Tahir.

eHati menjelaskan bahawa mereka menawarkan modul berasaskan hipnoterapi, psikoterapi dan Neuro-Linguistic Programming (NLP) untuk membantu wanita mengurus emosi, memulihkan trauma, meningkatkan keyakinan dan memperbaiki hubungan perkahwinan.

Kaedah yang digunakan termasuk latihan pernafasan, Trauma Release Exercise dan pelbagai pendekatan psikologi yang terbukti berkesan.

Syarikat itu turut menolak tuduhan bahawa mereka mengajar teknik urutan berunsur ajaran sesat atau falsafah Tantra.

Mereka menjelaskan bahawa teknik urutan yang digunakan adalah gabungan ‘pelvic floor massage’ dan ‘Thai massage’ yang telah disesuaikan dengan nilai setempat tanpa melibatkan sebarang unsur keagamaan lain.

“Kaedah ini telah diolah agar bersesuaian dengan nilai tempatan dan tidak melibatkan unsur atau ritual agama lain. la juga adalah modul pilihan dan peserta kami tidak diwajibkan untuk mengikutinya.

“Kami juga menafikan tuduhan bahawa kami membawa peserta ke Bali, Indonesia untuk menyebarkan ajaran sesat.

“Gambar yang tular adalah dari program retreat kami yang menunjukkan peserta kami sedang melakukan aktiviti “breathwork”, di mana dekorasi bunga merupakan norma di Bali telah disediakan oleh pihak hotel dan bukanlah sebahagian dari ritual.

“Malah, individu lelaki yang kelihatan dalam gambar tersebut juga adalah seorang pakar “detox” kesihatan yang dijemput untuk berkongsi pengalaman, dan bukanlah guru spiritual dari mana-mana kepercayaan agama lain,” kata mereka.

Mengenai produk Piya yang menjadi perhatian ramai, eHati menegaskan bahawa minuman itu hanya terdiri daripada koko asli, madu dan rempah semula jadi yang berfungsi menenangkan minda dan tubuh.

Mereka menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa minuman tersebut mengandungi bahan terlarang atau ‘cendawan ajaib’.

Berhubung dakwaan yang melibatkan pihak berkuasa agama, eHati mendedahkan bahawa mereka telah memberikan penjelasan penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 2022.

Setelah memahami kandungan program, JAIS membenarkan program eHati diteruskan dengan penambahan satu nota penafian (disclaimer) kepada para peserta.

Mereka turut menafikan bahawa program eHati menyesatkan atau merosakkan akidah seperti yang disebut dalam kenyataan beberapa pihak berkuasa agama. Diyana dan Rahim menegaskan bahawa semua modul dibina untuk memulihkan wanita, bukan menjauhkan mereka daripada nilai Islam atau institusi perkahwinan.

Foto: Sebahagian kenyataan media eHati yang disiarkan di Facebook Diyana Tahir.

Pihak eHati memaklumkan bahawa tiada aduan rasmi pernah diterima daripada mana-mana peserta program. Sebaliknya, ramai peserta memuji kesan positif yang dirasai.

Mereka juga menyatakan bahawa kenyataan awam yang dikeluarkan tanpa siasatan rasmi terlebih dahulu telah menjejaskan emosi dan kesihatan keluarga mereka, termasuk menyebabkan kematian ibu Diyana baru-baru ini akibat tekanan.

Satu laporan polis telah dibuat pada 12 Julai, termasuk laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

eHati kini mempertimbang tindakan undang-undang terhadap individu dan pihak yang menyebarkan fitnah, dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan lanjut.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial, Masyitah Ashari dilapor mendakwa berlaku aktiviti tidak bermoral dan bercanggah akidah Islam dalam sebuah program pembangunan kendiri dikenali sebagai eHati, yang diadakan di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 September 2024.

Dalam satu hantaran di Facebook, Masyitah mendakwa pengasas eHati, Diyana Tahir, telah muncul dalam keadaan tidak bertudung dan berpakaian seksi pada malam terakhir program, sebelum menanggalkan pakaiannya dan menari di hadapan peserta wanita, yang didakwa menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan mereka.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author