Terkini
Nick Adams bawa sentimen Islamofobia, Pelantikannya sebagai duta AS satu penghinaan – Pemuda Amanah
- Ia suatu penghinaan terhadap maruah negara dan prinsip dasar luar Malaysia yang menjunjung kedaulatan, keamanan serantau dan solidariti bersama rakyat tertindas, khususnya Palestin.
- Adams bukan seorang diplomat mahupun negarawan, beliau seorang propagandis ekstrem kanan, tokoh Trumpis tegar, serta penyokong lantang rejim Zionis Israel.
- “Retoriknya di media sosial penuh kebencian, perkauman, dan sentimen Islamofobia, jelas jauh menyimpang dari semangat hubungan dua hala yang matang.
- “Membenarkan beliau ke Malaysia adalah membuka pintu kepada agenda toksik dan politik kebencian Amerika,”katanya.
KUALA LUMPUR — Cadangan pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang baharu mendapat bantahan keras oleh Pemuda Amanah Nasional.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah Nasional, Mus’ab Muzahar menyifatkan cadangan itu suatu penghinaan terhadap maruah negara dan prinsip dasar luar Malaysia yang menjunjung kedaulatan, keamanan serantau dan solidariti bersama rakyat tertindas, khususnya Palestin.
Tegasnya, Adams bukanlah seorang diplomat mahupun negarawan, sebaliknya beliau sekadar seorang propagandis ekstrem kanan, tokoh Trumpis tegar, serta penyokong lantang rejim Zionis Israel.
“Retoriknya di media sosial penuh kebencian, perkauman, dan sentimen Islamofobia, jelas jauh menyimpang dari semangat hubungan dua hala yang matang.
“Membenarkan beliau ke Malaysia adalah membuka pintu kepada agenda toksik dan politik kebencian Amerika,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Parti Amanah Negara.
Justeru, beliau menggesa pelantikan Adams ditolak secara tegas di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna, tanpa perlu sebarang alasan, sambil menekankan bahawa kedaulatan Malaysia membolehkan kita menentukan siapa yang layak mewakili negara asing di negara ini.
Tambahnya, penolakan terhadap Adams bukan ancaman terhadap hubungan Malaysia-Amerika, sebaliknya satu mesej bahawa Malaysia berprinsip, bermaruah dan tidak tunduk kepada permainan geopolitik Amerika.
“Malaysia bukan medan percubaan untuk boneka politik Amerika yang gagal di negaranya sendiri. Kita menuntut diplomasi yang membawa nilai keadilan, bukan suara propaganda yang memecah-belahkan dunia,” katanya.
Pada Khamis lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilapor mencalonkan Adams, seorang pengulas politik konservatif kelahiran Australia yang kini warganegara AS sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
Susulan perkembangan itu juga semakin banyak gesaan pelbagai pihak timbul, termasuk daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim, Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar yang antara lain menuntut Kerajaan Malaysia menolak pencalonan Adams.
Turut menyuarakan pandangan adalah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menyatakan kerajaan boleh menolak Adams yang dilabel beliau sebagai Zionist turd atau ‘tahi zionis’ sebagai Duta AS ke Malaysia yang baru.
Jika dilantik, Adams yang menggelarkan dirinya sebagai “Alpha Male” akan menggantikan Edgard Kagan, seorang diplomat profesional yang dicalonkan untuk jawatan itu oleh Presiden Joe Biden pada Mei 2023.
Pelantikan Adams sebagai duta masih perlu disahkan oleh Senat AS. — The Merdeka Times