Antarabangsa
Malaysia boleh tolak Nick Adams ‘Zionist turd’, sebagai duta AS – KJ
- Nick Adams dilabel Khairy Jamaluddin sebagai ‘tahi zionis’.
- Artikel 4 Konvensyen Vienna yang membenarkan negara untuk menolak duta dilantik ke negara ini.
- “Kini, terserah kepada Wisma Putra,” katanya menerusi Instagram pada Ahad sambil berkongsikan satu tangkap layar ciapan Adams pada tahun lalu yang memperlihatkan sokongannya terhadap Israel.
KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyuarakan pandangan bahawa kerajaan boleh menolak Nick Adams yang dilabel beliau sebagai Zionist turd atau ‘tahi zionis’ sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baru.
Menurut Khairy, Artikel 4 Konvensyen Vienna (undang-undang yang menetapkan peraturan hubungan diplomatik) yang membenarkan negara untuk menolak duta dilantik ke negara ini.
“Kini, terserah kepada Wisma Putra,” katanya menerusi Instagram pada Ahad sambil berkongsikan satu tangkap layar ciapan Adams pada tahun lalu.
Dalam ciapan itu, Adams dilihat memberitahu bahawa beliau telah berjaya menyebabkan seorang pelayan restoran yang memakai lencana “Free Palestine” dipecat dan menegaskan sokongannya terhadap Israel.

Foto: Tangkap layar hantaran Instagram Khairy Jamaluddin.
Perkara 4 Konvensyen Vienna menyatakan persetujuan rasmi daripada negara penerima diperlukan sebelum negara lain boleh menghantar calon dutanya.
Negara penerima juga tidak perlu menyatakan sebarang alasan jika ia tidak bersetuju dengan calon tersebut.
Pada Khamis lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencalonkan Adams, seorang pengulas politik konservatif kelahiran Australia yang kini warganegara AS sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
Jika dilantik, Adams yang menggelarkan dirinya sebagai “Alpha Male” akan menggantikan Edgard Kagan, seorang diplomat profesional yang dicalonkan untuk jawatan itu oleh Presiden Joe Biden pada Mei 2023.
Pakar Asia Tenggara dari Council on Foreign Relations, Joshua Kurlantzick sebelum ini dilapor berpandangan Adams dikatakan hampir tiada pengalaman yang dilihat sebagai satu “tamparan kepada Malaysia” dan sifat Adams yang “lantang dan bombastik” mungkin tidak sesuai dengan gaya diplomasi rantau ini.
Pelantikan Adams sebagai duta masih perlu disahkan oleh Senat AS. — The Merdeka Times