Terkini
Tokoh wartawan negara kenang perjuangan Tun Dr Mahathir sempena ulang tahun ke-100

- Datuk A. Kadir Jasin menyifatkan falsafah perjuangan Tun Mahathir sebagai tidak gentar kepada celaan atau sanjungan.
- “Kayu dan batu mungkin mematahkan tulang-tulangku, tetapi kata-kata tidak akan melukakan hatiku,” kata Kadir memetik semangat juang Tun.
KUALA LUMPUR – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin, menzahirkan penghargaan dan kenangan peribadi beliau terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, sempena ulang tahun kelahiran ke-100 negarawan ulung itu hari ini.
Dalam satu catatan menyentuh hati di Facebook, A. Kadir mengimbas perjalanan hidup Dr Mahathir, bermula dari seorang doktor kampung di Alor Setar, Kedah, sehingga menjadi tokoh politik dan pemikir yang berpengaruh dalam sejarah moden Malaysia.
Beliau menyifatkan Tun Mahathir sebagai insan yang diberi nikmat umur panjang, kesihatan yang baik dan daya ingatan yang tajam.
“Dalam dunia yang dihuni 8.2 bilion manusia, hanya sekitar 722,000 sahaja yang berusia 100 tahun ke atas. Tun Mahathir adalah salah seorang daripadanya dan lebih daripada itu, beliau terus menulis, bersuara dan berjuang,” tulis beliau.
Kadir turut mengimbas memori zaman remajanya ketika Dr Mahathir mula-mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1964 di kawasan Kota Star Selatan.
Ketika itu, beliau baru berusia 17 tahun dan rumah keluarganya dijadikan antara lokasi awal kempen politik Dr Mahathir. Ayahnya, Allahyarham Jasin bin Tahir, merupakan ketua UMNO tempatan.
“Sejak awal, Tun sentiasa ditemani isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah. Pasangan yang tidak terpisahkan,” katanya.
Beliau juga berkongsi peristiwa getir dalam PRU 1969 apabila Dr Mahathir tewas kepada calon PAS, Yusof Rawa, dan kemudian dipecat daripada UMNO susulan kritikan terbukanya kepada Tunku Abdul Rahman.
Namun, Dr Mahathir kembali ke persada politik selepas dilantik semula oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, pada 1972 dan memenangi semula kerusi parlimen pada tahun berikutnya.
“Dari situ, langkah beliau tidak lagi berpatah balik. Pena dan fikirannya terus mengisi lembaran sejarah negara,” kata Kadir.
Beliau menyifatkan falsafah perjuangan Tun Mahathir sebagai tidak gentar kepada celaan atau sanjungan.
“Kayu dan batu mungkin mematahkan tulang-tulangku, tetapi kata-kata tidak akan melukakan hatiku,” kata Kadir memetik semangat juang Tun.
Kadir juga berkongsi sisi peribadi Tun Mahathir yang tidak gemar berbicara soal persaraan.
“Bagi beliau, berhenti atau menjadi tua tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Usia hanya angka. Selagi terdaya, perjuangan mesti diteruskan,” ujarnya.
Mengakhiri catatannya, Kadir mengucapkan selamat ulang tahun buat Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah, mendoakan agar mereka terus diberkati dan dipelihara oleh Tuhan Yang Maha Esa.
“Biar dicaci, dimaki, dibaling kayu dan batu, perjuangan Tun tidak pernah terhenti. Pena beliau tetap basah menulis demi bangsa dan negara,” Kadir mengakhiri tulisannya.
Datuk A. Kadir Jasin ialah sebuah nama yang tidak asing lagi dalam bidang kewartawanan.
Sebagai Tokoh Wartawan Negara ke-9, Kadir lantang menyuarakan pandangan beliau dalam pelbagai isu di samping berkongsi pengalaman hidup beliau dalam bentuk penulisan. -The Merdeka Times
