Connect with us

Terkini

Lelong arak di sekolah: “Sangat salah”, Hanya KPM boleh noktahkan – Teo Kok Seong

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong
  • Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menegaskan penganjuran acara lelong arak di premis sekolah adalah “sangat-sangat tidak betul” dan menyalahi nilai moral serta garis panduan ditetapkan KPM.
  • Sekolah harus dipelihara kesuciannya dan tidak sepatutnya digunakan untuk sebarang acara yang boleh mencemarkan imej dan nilai moral pelajar.
  • Walaupun tujuan sewakan premis sekolah untuk jana pendapatan tambahan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan aktiviti tidak bermoral dan bercanggah garis panduan KPM.

KUALA LUMPUR – Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menegaskan bahawa penganjuran acara lelong arak di premis sekolah adalah “sangat-sangat tidak betul” dan menyalahi nilai moral serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara menegaskan bahawa hanya KPM mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk menoktahkan atau menghentikan aktiviti kontroversi seperti ini di sekolah.

Menurut beliau, sekolah adalah institusi pendidikan yang harus dipelihara kesuciannya dan tidak sepatutnya digunakan untuk sebarang acara yang boleh mencemarkan imej dan nilai moral pelajar.

“Institusi pendidikan harus dilihat sebagai tempat yang bebas daripada perkara-perkara yang boleh menimbulkan kontroversi, apatah lagi acara lelong arak yang jelas bertentangan dengan nilai murni,” kata Profesor Teo kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan berita tempatan yang melaporkan satu majlis lelongan harga minuman keras telah diadakan di sebuah dewan sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian pada minggu lalu.

Majlis yang berlangsung itu bagaimanapun dilapor bertukar kecoh apabila sekumpulan lelaki bertindak membaling kerusi ke arah pentas kerana tidak berpuas hati dengan harga lelongan minuman keras ditawarkan penganjur.

Dalam masa sama, Profesor Teo menegaskan bahawa walaupun tujuan menyewakan premis sekolah adalah untuk menjana pendapatan tambahan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan aktiviti yang tidak bermoral dan bercanggah dengan garis panduan KPM.

“Hanya Kementerian Pendidikan Malaysia yang ada kuasa untuk mengambil tindakan tegas dan menoktahkan perkara ini supaya ia tidak berulang,” tambahnya.

Profesor Teo juga menekankan bahawa garis panduan KPM mengenai larangan promosi dan aktiviti berkaitan minuman keras di premis sekolah sudah jelas, namun ia tidak dipatuhi dalam kes ini.

Oleh itu, beliau menyeru agar KPM segera bertindak bagi memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang suci dan bebas daripada sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan perkembangan akhlak dan sahsiah pelajar.— The Merdeka Times

Author